PETALING JAYA: Persatuan Sepak Takraw Malaysia(PSM) tidak bersetuju dengan cadangan pindaan terhadap undang-undang servis dalam sukan sepak takraw, sambil menyuarakan kebimbangan terhadap masa depan posisi tekong yang dianggap sebagai seni warisan permainan itu.
Presidennya, Datuk Mohd Sumali Reduan, berkata, undang-undang servis sedia ada sudah terbukti berkesan dan telah lama digunakan dalam pelbagai kejohanan peringkat antarabangsa mahupun domestik tanpa menimbulkan sebarang kontroversi besar.
“Undang-undang servis yang digunakan sekarang ini sudah cukup baik dan seragam di seluruh dunia. Setakat ini, tiada isu besar yang timbul berkaitan peraturan tersebut,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan kewajaran perubahan tersebut yang disifatkan boleh membuka ruang kepada pelbagai kaedah servis baharu, termasuk membolehkan tekong berperanan sebagai ‘killer’ dalam bulatan, sekali gus menjejaskan keaslian dan estetika permainan.
“Jika pindaan ini diteruskan, ia akan mengubah fungsi asal tekong dan membolehkan mereka melakukan servis dengan gaya bebas, yang akhirnya boleh merosakkan identiti posisi tersebut.
“Kita bimbang keunikan dan kesenian posisi tekong yang telah wujud sekian lama dalam sukan ini akan terhakis,” jelasnya.
Sehubungan itu, Sumali yang juga merupakan Naib Presiden Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa(ISTAF) menegaskan bahawa Malaysia akan berpegang kepada pendirian untuk mengekalkan undang-undang servis yang sedia ada demi memastikan warisan teknik dan seni permainan tradisi itu terus kekal relevan.
“Pendapat saya mewakili Malaysia kita harus kekalkan undang-undang sedia ada agar seni servis tekong terus terpelihara dan tidak hilang ditelan perubahan yang tidak perlu,” katanya.
Sebelum ini, ISTAF telah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Khas bagi meneliti cadangan pindaan terhadap undang-undang permainan sukan itu khususnya yang melibatkan peraturan servis. – UTUSAN










