SEPANG: Kejayaan membolot lima pingat emas di Kejohanan Boling Remaja Asia ke-24 di Doha, Qatar menjadi suntikan semangat buat atlet boling remaja negara, Qurratu’Ain Izdihar Pozi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Abu Bakar Baginda itu mengakui kejayaan di bumi Qatar itu membuka lembaran baharu dalam kehidupannya sebagai pelajar dan atlet.
“Selepas pencapaian ini, saya mahu berikan tumpuan kepada dua perkara penting iaitu akademik dan latihan untuk kejohanan seterusnya.
“Jadual saya agak padat. Pagi saya ke sekolah, petang pula jalani latihan. Malam baru ada masa untuk belajar dan siapkan tugasan sekolah,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejurus tiba dari Doha bersama skuad boling remaja negara,semalam.
Mengakui cabaran membahagikan masa antara pelajaran dan latihan bukan sesuatu yang mudah, Qurratu’Ain bagaimanapun tidak menjadikannya sebagai alasan untuk berundur.
“Memang mencabar, tapi ibu bapa saya sentiasa beri dorongan. Mereka mahu saya cemerlang dalam kedua-dua bidang iaitu sukan dan akademik,” jelasnya.
Meskipun mencipta sensasi di Doha dengan menyapu bersih lima kategori individu, beregu, berpasukan, All Events dan Masters ,atlet berusia 17 tahun itu belum meletakkan sasaran tinggi untuk disenaraikan ke temasya Sukan SEA di Thailand hujung tahun ini.
“Saya harap disenaraikan, tapi buat masa ini saya lebih fokus kepada latihan dan prestasi diri terlebih dahulu,” katanya.
Qurratu’Ain, yang juga juara remaja kebangsaan, kini bersedia untuk menghadapi satu lagi cabaran besar pada Kejohanan Boling Remaja Asia Bawah 21 Tahun yang dijadual berlangsung hujung bulan ini di Sunway Mega Lanes.
Selain kecemerlangan di peringkat remaja, anak muda ini turut membuktikan kemampuan bersaing di pentas lebih tinggi apabila meraih tempat ketiga dalam acara Terbuka Wanita pada Kejohanan Terbuka Hong Kong baru-baru ini.-UTUSAN