PETALING JAYA: Ratu tenpin boling negara, Esther Cheah mengumumkan persaraan rasmi selepas lebih dua dekad mewarnai arena sukan itu di peringkat antarabangsa, sekali gus menamatkan karier gemilang yang penuh pencapaian untuk Malaysia.
Keputusan itu dibuat berikutan masalah kecederaan yang berlarutan dan kesan fizikal daripada bersaing di tahap elit, termasuk pembedahan lutut pada 2021 yang menjejaskan prestasinya sejak itu.
“Saya sudah lama mengalami kecederaan. Saya menjalani pembedahan lutut pada 2021 dan kembali beraksi pada 2022, tetapi selepas itu, saya hanya berada pada tahap 80 hingga 85 peratus sahaja berbanding dulu.
“Sudah tiba masanya untuk berehat kerana sukar untuk terus memaksa badan apabila ia tidak lagi memberi respons seperti dahulu,” kata Esther.
Anak kepada bekas jurulatih kebangsaan, Holloway Cheah, itu mula mencuri perhatian pada 2005 apabila muncul juara dunia individu pertama Malaysia di Kejohanan Dunia di Aalborg, Denmark, pada usia 19 tahun.
Beliau kemudiannya menambah dua lagi pingat kejohanan dunia dalam acara berpasukan, sekali gus membuktikan ketahanan, konsistensi dan kelasnya di peringkat elit.
Pemain kelahiran Pulau Pinang itu berkata beliau tidak pernah menjangkakan akan menamatkan karier dengan pencapaian sebanyak itu dalam sukan ini.
“Saya tidak membayangkan begitu banyak kejayaan yang saya kecapi. Saya tidak menyangka saya akan menang sebanyak itu.
“Jika dilihat gaya balingan saya, saya bukan yang paling mengagumkan berbanding ramai yang lain, jadi kadang-kadang saya sendiri terkejut dengan pencapaian saya,” katanya. – UTUSAN










