PETALING JAYA: Kuala Lumpur City (KL City) FC tidak depan masalah untuk menumpaskan pendatang baharu Liga Super, Imigresen FC 3-0 di Stadium Negeri Pulau Pinang, petang tadi.
Aksi serba tidak menjadi Imigresen FC bermula dengan jaringan sendiri ketua pasukan, Rizal Ghazali pada minit ke-30 ketika bekas pemain Kedah Darul Aman FC itu cuba mengeluarkan bola.
Kedudukan 1-0 kekal sehingga wisel penamat separuh masa pertama dibunyikan, bersambung babak kedua skuad Warga Kota menggandakan usaha untuk memburu tambahan jaringan.
Hasilnya, Imigresen FC terus dihukum menerusi jaringan Safawi Rasid yang menanduk masuk hantaran menerusi sepakan percuma yang diambil oleh Manuel Hidalgo pada minit ke-56.
Hidalgo melengkap aksi sempurna skuad Warga Kota apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-83, sekali gus KL City FC membawa pulang tiga mata pertama untuk aksi musim ini.
Selepas ini, KL City FC akan menerima kunjungan Sabah FC di laman sendiri, manakala Imigresen FC akan bertandang ke Stadium Sultan Muhamad IV berdepan Kelantan The Real Warriors (TRW).-UTUSAN