PETALING JAYA: Ketua jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi tidak berpuas hati meskipun anak buahnya meraih kemenangan 3-1 dalam aksi pusingan pertama Piala FA 2025/26 menentang Malaysian University Football Team (MUFT) di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ), kelmarin.
Jurulatih dari Jepun itu menegaskan, kelekaan barisan pertahanannya sehingga dibolosi pada babak pertama tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi ketika pasukan sedang menguasai perlawanan.
“Saya gembira dengan kemenangan ini, tetapi satu gol yang dilepaskan itu sesuatu yang saya anggap kesilapan. Sebagai pasukan, kita tidak sepatutnya dibolosi begitu mudah,” katanya selepas perlawanan.
Menurut Kinoshi, beliau mengambil tanggungjawab terhadap jaringan tersebut kerana melakukan beberapa rombakan taktikal di barisan pertahanan yang membuka ruang buat MUFT menjaringkan gol.
“Ya, mungkin keputusan saya meletakkan pemain tertentu atau membuat perubahan taktikal jadi puncanya. Tapi apa pun, kita kena jadikan ia sebagai pengajaran kerana bola sepak adalah tentang kesilapan dan bagaimana kita memperbaikinya,” jelasnya.
Walaupun begitu, Selangor FC tetap mempamerkan aksi dominan apabila berjaya melakar kemenangan selesa, malah penyerang import sensasi , Alvin Fortes, turut mencuri perhatian selepas menjaringkan satu gol meskipun baru sahaja pulih daripada masalah kesihatan.
“Alvin baru pulih, tetapi dia masih mampu memberikan impak dan menjaringkan gol. Ini berita baik buat pasukan untuk perlawanan seterusnya,” tambah Katsuhito.
Sementara itu, jurulatih MUFT, Mohd. Yazli Yahya pula gembira anak buahnya mampu memberi tentangan berani biarpun tewas kepada pasukan gergasi Liga Super.
“Gol awal itu memang berpunca daripada kesilapan mudah, tetapi selepas itu pemain-pemain bangkit dengan keyakinan. Walaupun ramai masih baru, mereka menunjukkan keberanian berdepan pasukan besar seperti Selangor,” katanya.-UTUSAN
habis
KAPSYEN: Alvin Fortes cuba melepasi pemain pertahanan MUFT, Ahmad Taufik Lukman dalam saingan Piala FA 2025/2026 di Stadium MBPJ, kelmarin.