Al Kauthar Eduqids laksana siasatan dalaman

Kurung kanak-kanak autism, Al Kauthar Eduqids laksana siasatan dalaman

AKE
TANGKAP layar daripada potongan video yang tular dalam Threads memaparkan seorang kanak-kanak dipercayai tidak berpakaian dilihat dari pintu di dalam sebuah bilik gelap dekat sebuah cawangan AKE, Seksyen 3, di Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pengurusan Al Kuthar Eduqids (AKE) menyegerakan siasatan dalamannya susulan tular kejadian seorang kanak-kanak dipercayai menghidapi autism dikurung tanpa pakaian di dalam sebuah bilik gelap.

Ibu pejabat AKE dalam kenyataannya berkata, pihaknya mengambil maklum insiden yang berlaku di salah satu cawangan pusat pendidikan awal itu.

“AKE-HQ (Ibu pejabat AKE) memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh dan telus.

“Salinan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian itu juga diserahkan kepada polis bagi membantu siasatan,” katanya, semalam.

Katanya, pengurusan turut mengaktifkan saluran dan aduan rasmi bagi mengesan kewujudan insiden yang sama di mana-mana premis di bawah jenama AKE.

“Kami memohon semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada proses siasatan yang sedang dijalankan.

“AKE – HQ sentiasa meletakkan keselamatan dan kebajikan kanak-kanak sebagai keutamaan dan tidak akan berkompromi dengan sebarang kejadian yang tidak diingini. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan melalui saluran rasmi,” ujarnya.

Terdahulu, tular potongan video memaparkan seorang kanak-kanak didakwa menghidapi autism dikatakan dikurung dalam keadaan berbogel dalam sebuah bilik gelap dipercayai stor dekat salah satu cawangan AKE di Seksyen 3, di sini.

Malah, video itu turut memaparkan keadaan rumah dan bilik yang bersepah seperti tidak terurus.

Video yang ditularkan oleh Caprice menerusi laman Threads itu menerima lebih 4,200 reaksi dan 1,000 komen selain dikongsikan sebanyak 3,500 kali.

Selain itu, di ruangan komen hantaran tersebut, rata-rata pengguna media sosial berkenaan mengakui pernah berdepan situasi kurang sedang dengan perkhidmatan dan layanan daripada guru atau petugas di cawangan AKE.

“Ya Allah, aku harap bukan ini yang terjadi dekat anak saya yang autism selepas dia sudah beberapa hari dihantar ke satu cawangan di B****. Tiba-tiba teringat bagaimana dia menangis bila dihantar ke sekolah. Dia kerap muntah lepas balik sekolah. Maafkan ibu, anakku,” tulis ‘lutfiahbintikhalid’.

Saya juga ada anak autism, pernah hantar ke AKE Seksyen 7, Shah Alam tiga tahun lepas. Saya bayar percubaan sebulan RM1,000 untuk kelas yang termasuk EIP katanya.

Akhirnya, selepas tiga minggu, saya keluarkan sebab anak trauma. Minggu terakhir di sana dia kerap menangis dan bila balik rumah dia tak benarkan kami tutup pintu.

“Dia ikut kami kemanapun sampai ke dalam tandas. Ada kemungkinan anak saya juga pernah dikurung. Saya tak akan maafkan pemilik dan cikgu jika ia benar. Depan baik suci macam malaikat. Semoga mereka mendapat hukuman sewajarnya,” tegas ‘ameysuriatiyahya’.

“Anak saya yang tak autism pun mengadu dekat saya (yang) dia dikurung oleh AKE Bandar Baru Sungai Buloh. Melampaunya, nasib baik saya ambil tindakan terus tukar sekolah dia,” kongsinya.

“Saya hantar anak dekat AKE Puncak Alam. Setakat ini semua okey lagi. Tetapi tolong beritahu kalau sesiapa yang ada info ok ke apa (tidak). Jadi takut,” ujar ‘qayyumabid_’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN