PETALING JAYA: Ketua jurulatih SSBJ Thunderbolts, Mohamad Sukri Abdul Mutalib berharap kejayaan pasukannya menjuarai Piala TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL) menjadi batu loncatan kepada pemainnya untuk diserap menyertai skuad hoki remaja kebangsaan.
Lebih membanggakan sejurus tamat aksi final pada Sabtu lalu, Sukri berkata, salah seorang daripada pemainnya telah dipanggil untuk menyertai skuad remaja kebangsaan di bawah kendalian Nor Saiful Zaini Nasruddin.
“Sudah pasti ini adalah batu loncatan untuk pemain wakili skuad remaja negara. Saya difahamkan lepas final ada seorang pemain berumur 18 tahun dipanggil sertai skuad remaja kebangsaan.
“Saya harap lebih ramai pemain dapat diserap dan mereka terus berlatih. Mereka sentiasa mahu belajar untuk mempertingkatkan permainan hoki masing-masig sebab masih banyak lagi ruang untuk diperbaiki,” katanya.
SSBJ Thunderbolt muncul juara selepas menewaskan AHSSN Pahang Tunderbolts 3-0 di Bukit Jalil pada Sabtu lalu manakala kategori wanita pula dimenangi SSTMI-PKS UNITEN setelah menundukkan MUTIARA-MSSPP-PSHA-UNITEN 4-1.
Mengulas lanjut, Sukri merupakan bekas pemain hoki kebangsaan mengakui kejayaan pasukannya menjuarai trofi kejohanan telah mendorongnya untuk bekerja lebih kuat.
“Saya akan terus membangunkan pemain lain sebab daripada skuad semasa hanya empat pemain sahaja tak boleh beraksi pada tahun depan. Saya akan teruskan latihan untuk pemain bagi menyertai mana-mana kejohanan,” katanya.-UTUSAN