PETALING JAYA: Saingan Liga Super musim baharu yang membuka tirai Jumaat lalu tidak dilepaskan oleh barisan kejurulatihan Harimau Malaya untuk turun ke stadium bagi melihat pemain-pemain yang berpotensi diserapkan dalam skuad kebangsaan.
Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski mengakui aksi pembukaan Liga Super musim ini menawarkan gambaran awal yang menarik tentang kekuatan pasukan serta potensi pemain yang mengintai tempat dalam skuad kebangsaan.
Menurut jurulatih kelahiran Australia itu, aksi pertama musim ini sentiasa menjadi cerminan sebenar tahap persiapan pasukan selepas pramusim, termasuk keserasian di atas padang serta kekuatan mental menghadapi tekanan pertandingan.
“Pusingan pertama sentiasa membawa tenaga dan detik istimewa. Ia adalah pandangan pertama tentang bagaimana pasukan telah bersedia, dari segi fizikal dan keserasian.
“Ia juga masa untuk melihat sejauh mana penyokong berada di belakang pasukan mereka kerana suasana stadium akan menentukan tempo perlawanan” katanya kepada Utusan Malaysia.
Cklamovski turut mengakui terpegun dengan suasana di Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika aksi pembukaan Piala Sumbangsih, yang menurutnya setaraf perlawanan di Eropah.
“Perlawanan Piala Sumbangsih di Johor terasa seperti aksi di pentas Eropah. Stadium itu berada pada dimensi berbeza berbanding mana-mana tempat lain di Malaysia, dan ia dilengkapkan dengan kemenangan meyakinkan JDT,” katanya.
Lebih menggembirakan Cklamovski, apabila beliau dapat melihat pemain Harimau Malaya tampil dengan aksi bertenaga, sementara pemain yang berada di ‘pintu masuk’ skuad kebangsaan juga menunjukkan kesungguhan untuk mencuri perhatian.
“Pemain negara bermain dengan baik, menunjukkan perkara positif. Mereka yang berada di dalam senarai pemilihan turut membuktikan kemampuan.
“Setiap perlawanan adalah peluang untuk melihat kemajuan dan menilai prestasi pemain. Pasti ada tempat yang direbut ketika kami terus membina asas pasukan Harimau Malaya,” jelasnya.
Skuad kebangsaan bakal mengharungi dua aksi persahabatan Tier 1 pada jendela perlawanan antarabangsa September ini, apabila Singapura dan Palestin bakal hadir di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) untuk menguji anak buah Cklamovski.
Dua aksi pada 4 dan 8 September itu dianggap penting bagi memastikan momentum pasukan kekal di tahap terbaik selepas memperagakan aksi menakjubkan dalam Kelayakan Piala Asia 2027 Jun lalu dengan membelasah Vietnam 4-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Malaysia akan meneruskan misi memburu tiket ke Piala Asia 2027 dengan berdepan Laos pada Oktober ini.-UTUSAN