NEW YORK: Novak Djokovic mengakui fokusnya kini hanya tertumpu kepada memburu kejuaraan Grand Slam ke-25 di Terbuka Amerika Syarikat (AS) biarpun menganggap kejohanan Masters 1000 terlalu panjang.
“Terus terang saya katakan, saya sudah tidak menikmati kejohanan Masters yang berlangsung selama dua minggu.
“Ianya terlalu panjang buat saya. Fokus saya lebih kepada Grand Slam, dan saya pernah sebut sebelum ini,” kata Djokovic.
Djokovic yang kini berusia 38 tahun menegaskan, dia tidak lagi mengejar ranking dunia sebaliknya hanya memilih kejohanan yang memberi kepuasan serta motivasi.
“Bagi saya, ianya tentang di mana saya menemui inspirasi untuk bermain tenis terbaik. Saya mahu berada di gelanggang yang saya benar-benar peduli,” jelasnya.
Pemain Serbia itu juga tidak mahu lagi mengorbankan masa bersama keluarga termasuk ulang tahun kelahiran anak perempuannya pada 2 September yang mungkin bertembung dengan suku akhir Terbuka AS.
Djokovic kali terakhir beraksi pada Wimbledon Julai lalu apabila tewas di separuh akhir kepada Jannik Sinner sekali gus hadir ke New York tanpa sebarang aksi kompetitif sejak itu.
Bagaimanapun, juara empat kali Terbuka AS itu tetap mencuri perhatian apabila diberi penghormatan melakukan lontaran pertama di gelanggang pasukan besbol terkenal, New York Yankees. – AGENSI