PETALING JAYA: Perenang muda sensasi negara, Muhammad Dhuha Zulfikry mahu mencipta impak pada penampilan sulungnya di Kejohanan Renang Remaja Akuatik Dunia 2025 yang bermula hari ini di Otopeni, Romania.
Atlet berusia 17 tahun itu mengakui sasaran utamanya adalah menempatkan diri di pentas final sebelum memberi tumpuan penuh untuk memburu pingat dalam empat acara gaya bebas yang disertainya iaitu 200 meter (m), 400m, 800m dan 1,500m.
“Sasaran utama saya di kejohanan dunia adalah untuk masuk final dahulu dan kemudian saya akan bekerja keras untuk mendapatkan medal.
“Ini peluang pertama saya di kejohanan dunia remaja. Jadi saya mahu berikan yang terbaik dan harap dapat cipta sesuatu buat Malaysia,” kata Dhuha.
Pemenang enam pingat emas SUKMA Sarawak 2024 itu dijadualkan beraksi dalam aksi saringan 400m gaya bebas pada pukul 2.30 petang hari ini dan sekiranya layak ke final akan bertarung pada pukul 11 malam pada hari yang sama.
Persiapan atlet kelahiran Kuala Lumpur ini bagaimanapun berdepan cabaran apabila perlu mengimbangi latihan intensif bersama tanggungjawab menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.
“Persediaan saya ke kejohanan dunia ini bagus setakat ini. Walaupun saya berdepan cabaran besar untuk seimbangkan dengan pelajaran saya. Namun ketika ini saya mampu melepasi untuk cabaran untuk berlatih dan belajar dalam masa yang sama.
“Bagi saya perkara itu amat sukar kerana latihan ambil masa yang sangat lama dan pelajaran saya (luangkan) ketika saya ada masa lapang,” katanya.-UTUSAN