KULIM: Tindakan pantas polis berjaya menahan seorang lelaki disyaki terlibat dalam kes tembak hanya dalam tempoh kira-kira 30 minit selepas kejadian di Kampung Permatang Durian, Seberang Paya, Padang Serai di sini, Sabtu lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintenden Tengku Mohd. Faizal Tengku Yeng berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 12 tengah malam sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, dalam kejadian tersebut, mangsa lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an mengalami kecederaan selepas ditembak oleh suspek yang juga kenalannya.
“Siasatan awal mendapati berlaku pertengkaran antara suspek dan mangsa berhampiran rumah ibu mangsa, sebelum suspek bertindak melepaskan satu das tembakan yang mengenai lengan kanan serta dada mangsa,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Menurutnya, mangsa dikejarkan ke Hospital Kulim untuk rawatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil, selain pemeriksaan awal mendapati kecederaan tidak melibatkan organ dalaman kritikal.
Bertindak atas maklumat, polis melancarkan serbuan sekitar pukul 12.30 pagi sebelum berjaya menahan suspek lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an di Kampung Naga Lilit, Padang Serai.
“Penahanan dibuat dalam tempoh kira-kira 30 minit selepas kejadian. Polis turut merampas sepucuk pistol jenis revolver .38, 10 butir peluru hidup, kelongsong peluru, pakaian dipercayai digunakan semasa kejadian serta sebuah kereta jenis Honda Civic berwarna kuning.
“Semakan mendapati suspek mempunyai 13 rekod lampau berkaitan jenayah dan narkotik, manakala mangsa pula memiliki 12 rekod lampau melibatkan kes sama. Ujian saringan air kencing terhadap suspek didapati negatif dadah,” katanya.
Tengku Mohd Faizal berkata, kedua-dua individu itu tiada hubungan kekeluargaan, sebaliknya hanya saling mengenali, manakala punca sebenar pertengkaran masih dalam siasatan.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh serta Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan suspek kini direman selama enam hari sehingga 26 Mac bagi membantu siasatan.
Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat tampil membantu pihak berkuasa. – UTUSAN









