Bayern bermula sempurna di Bundesliga

Bayern bermula sempurna di Bundesliga

HARRY KANE melepasi kawalan dua pemain RB Leipzig dalam aksi Bundesliga, semalam.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUNICH: Bayern Munich bermula cemerlang di Bundesliga apabila membelasah RB Leipzig 6-0 di laman sendiri dengan Harry Kane meledak hatrik dalam perlawanan tersebut.

Michael Olise turut mencuri tumpuan dengan meledak dua gol, manakala bekas bintang Liverpool, Luis Diaz turut membuktikan ketajamannya dengan satu jaringan.

Olise menjaringkan dua gol pada babak pertama, diselang satu gol Diaz untuk membolehkan Bayern mendahului 3-0 sebelum rehat.

Tidak mahu ketinggalan, Kane meledak tiga gol pada separuh masa kedua, dua daripadanya hasil umpanan Diaz untuk melengkapkan kemenangan besar 6-0.

Kapten England berusia 32 tahun itu kini sudah mengumpul tujuh hatrik di Bundesliga sejak menyertai Bayern dari Spurs pada musim panas 2023.

“Kami mahu mulakan musim dengan satu kenyataan dan itulah yang kami lakukan. Kami menguasai setiap bahagian padang dan klinikal bila peluang tiba, jadi kami boleh menikmatinya,” kata Kane yang dikeluarkan empat minit sebelum permainan tamat.

Dalam masa sama, Kane mengakui Bayern berdepan detik sukar musim ini selepas kehilangan beberapa tonggak seperti Kingsley Coman, Leroy Sane, Thomas Mueller dan Mathys Tel susulan perpindahan.

Sementara itu, kapten Bayern, Joshua Kimmich mahu rakan sepasukan mengekalkan rentak kerana sedar cabaran untuk mengulangi kemenangan besar sangat sukar.

“Menang 6-0 di laman sendiri menentang Leipzig memang jelas satu kenyataan, tetapi cabaran sebenar dalam bola sepak adalah untuk mengulanginya tiga hari kemudian,” kata Kimmich

Pemain antarabangsa Jerman itu turut memuji Kane yang disifatkan sebagai pemain yang tidak tamak dan bermain secara berpasukan.

“Dia memang suka menjaringkan gol tetapi dia juga gemar mencipta peluang, turun membantu pertahanan, itu sesuatu yang istimewa. Dia tidak hanya menterjemahkan dirinya dengan gol dan ia amat membantu kami,” tambah Kimmich.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN