PETALING JAYA: Jurulatih olahraga negara, Ahmad Firdaus Salim berpuas hati dengan pencapaian dua atlet lompat jauh kebangsaan, Andre Anura Anuar dan Nurul Ashikin Abas apabila masing-masing membawa pulang pingat gangsa pada Kejohanan Silk Road to Tokyo, kelmarin.
Jelajah Benua Olahraga Dunia bertaraf gangsa itu diadakan di Stadium Olahraga Uzbekistan, Tashkent merupakan platform terbaik buat atlet negara mengintai slot ke Kejohanan Olahraga Dunia 2025 di Jepun pada September ini.
Andre melakukan lompatan sejauh 7.70 meter (m) untuk meraih gangsa selepas pingat emas dimenangi atlet Korea Selatan, Jinsuok Sung yang melakukan 7.79m manakala perak milik Koki Fujihara dari Jepun (7.76m).
Atlet berusia 26 tahun itu hampir memecahkan rekod kebangsaan miliknya, namun dua lompatannya pada percubaan ketiga dan kelima dibatalkan. Andre melakukan rekod kebangsaan dengan catatan 8.02m di Sukan SEA 2019.
“Alhamdulillah, sangat berpuas kerana sudah lama Andre tidak beraksi dalam acara lompat jauh dan 7.70m merupakan catatan terbaiknya musim ini. Dia ada dua lompatan yang dibatalkan di mana ia sudah pun melepasi bacaan 8.0m.
“Bagi Ashikin, dia juga berjaya melakukan catatan terbaiknya musim ini sebab mereka berdua sebelum ini lebih banyak melakukan latihan lompat kijang,” katanya.
Nurul Ashikin membawa pulang gangsa selepas melakukan lompatan 5.87m mengatasi rakan senegaranya, Maritza Ferrer anak Neil Armstrong di tempat keempat dengan bacaan kurang 0.01m.
Atlet tuan rumah, Sharifa Davronova dan Roksana Khudoyarova masing-masing memenangi pingat emas dan perak selepas melakukan catatan 6.14m dan 5.97m.-UTUSAN