UiTM anjur Kejohanan Bola Jaring terbuka lelaki

UiTM anjur kejohanan bola jaring terbuka lelaki

BARISAN pemenang kejohanan bola jaring lelaki yang disempurnakan oleh Dekan Fakulti Sains Rekreasi UiTM Profesor Madya Dr. Raja Mohammed Firhad Raja Azidin di Pusat sukan UiTM Shah Alam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus melakar kelainan apabila buat julung kalinya menganjurkan Kejohanan Bola Jaring Terbuka Lelaki yang berlangsung di Pusat Sukan UiTM, Shah Alam, baru-baru ini.

Kejohanan unik itu berjaya menarik penyertaan seramai 80 pelajar lelaki dari pelbagai kampus UiTM seluruh negara dalam usaha mencabar persepsi bahawa bola jaring hanya untuk golongan wanita.

Program tersebut merupakan inisiatif pelajar Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR) UiTM dalam memperkasa pembangunan sahsiah dan keterampilan pelajar menerusi penglibatan aktif dalam bidang sukan.

Penasihat Pengarah Liga Bola Jaring Lelaki UiTM, Shah Hakimie Iskandar berkata, penganjuran kejohanan itu membuktikan komitmen fakulti dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah aktif dalam kokurikulum.

“FSR sentiasa menyokong usaha untuk melahirkan pelajar serba boleh. Kejohanan ini bukan sahaja mengetengahkan bakat pelajar lelaki dalam sukan bola jaring, malah turut mencabar norma jantina dalam sukan ini.

“Mungkin bola jaring kurang mendapat perhatian seperti bola sepak atau badminton, namun ia tetap mempunyai keunikan dan mampu menjadi medium pembangunan pelajar,” katanya ketika ditemui selepas kejohanan berkenaan.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Penganjur, Nur Fatin Alia Mohd. Hanif berkata, penganjuran kejohanan tersebut membuka ruang kepada pelajar lelaki untuk meneroka sukan bola jaring sekali gus mengubah persepsi masyarakat terhadap sukan itu.

“Matlamat utama kami adalah untuk memberi peluang kepada pelajar lelaki menyerlahkan bakat dalam bola jaring, selain memupuk semangat kesukanan, kepimpinan dan kerjasama berpasukan.

“Kami yakin usaha ini mampu mewujudkan budaya kampus yang lebih sihat, aktif dan inklusif,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN