MIAMI: Hasrat menyaksikan pertembungan dua beradik, Jude dan Jobe Bellingham dalam aksi suku akhir Piala Dunia Kelab tidak kesampaian apabila Jobe digantung perlawanan.
Jobe, yang beraksi bersama Borussia Dortmund, terpaksa melupakan perlawanan suku akhir selepas digantung satu perlawanan ekoran pengumpulan dua kad kuning.
Sebaliknya, abangnya, Jude terus mencuri tumpuan apabila membantu Real Madrid menewaskan Juventus 1-0 di Stadium Hard Rock, Miami.
Beberapa jam selepas itu, Jobe diturunkan dalam kesebelasan utama Dortmund yang berjaya menundukkan kelab Mexico, Monterrey 2-1.
Namun, nasib tidak menyebelahi pemain berusia 19 tahun itu apabila dilayangkan kad kuning pada babak pertama, sekali gus menyebabkan dia digantung perlawanan berikutnya selepas turut menerima kad kuning di peringkat kumpulan.
Ketua jurulatih Dortmund, Niko Kovac mendedahkan, Jobe begitu kecewa kerana peluang berdepan abangnya tidak kesampaian.
“Saya rasa kita semua dapat lihat dia amat kecewa. Saya rasa dia tidak sedar kad kuning kedua itu adalah menyebabkan penggantungan. Dia terkejut.
“Dia muda, abangnya juga muda jadi saya yakin mereka akan bertembung lagi, mungkin di Liga Juara-Juara Eropah musim depan atau pada masa akan datang,” kata Kovac.
Dalam perlawanan itu yang berlangsung di Stadium Mercedes Benz, Jobe dikeluarkan pada minit ke-55.-UTUSAN