NEW YORK: Pemain baharu, Joao Pedro muncul wira apabila meledak dua gol ketika Chelsea menumpaskan Fluminense 2-0 untuk mara ke final Piala Dunia Kelab, awal pagi tadi.
Penyerang Brazil membuka tirai jaringan pada minit ke-18 dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium MetLife, sebelum menambah satu lagi gol pada babak kedua.
Bagaimanapun, Pedro tidak meraikan golnya sebagai tanda hormat kepada Fluminense, kelab yang pernah diwakilinya sebelum berpindah ke England bersama Watford pada 2020.
Chelsea kini akan berdepan sama ada Real Madrid atau Paris Saint-Germain (PSG) yang akan beraksi dalam satu lagi aksi separuh akhir awal pagi esok, perlawanan akhir Piala Dunia Kelab akan berlangsung pada Isnin depan.
Dalam aksi berkenaan, Chelsea turun tanpa Levi Colwill dan Liam Delap yang digantung, namun Moises Caicedo kembali selepas menjalani penggantungan.
Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu jelas terlalu kuat buat lawan mereka pada perlawanan yang disaksikan oleh 70,556 penonton pada petang yang panas berhampiran bandar New York.
Pengendali Chelsea, Enzo Maresca ternyata gembira dengan keputusan itu dan menganggap anak-anak buahya telah merealisasikan impian kelab yang mahu mara ke final.- AGENSI