SETIU : Dua anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) maut selepas kereta jenis Honda Civic dinaiki mereka terlibat kemalangan membabitkan empat buah kenderaan di Kilometer 70 Jalan Bandar Permaisuri, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd. Zain Mat Dris berkata, kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu menyebabkan pemandu dan penumpang hadapan Honda Civic tersebut, Muhammad Aminuddin Amran, 21, serta Mohamad Shakiran Saidi, 36, maut di lokasi kejadian.
Katanya, ketika kejadian, kedua-dua mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang dari Kem 7 Workshop Briged Tebrau, Johor menuju ke Kelantan.
“Kemalangan dipercayai berlaku semasa kenderaan dinaiki mereka hilang kawalan ketika sampai di tempat kejadian dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah treler.
“Pelanggaran tersebut menyebabkan treler berkenaan mengelongsor ke laluan bertentangan dan bergesel dengan sebuah Protom Saga sebelum melanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) Alza yang diletakkan di bawah garaj,” katanya di sini hari ini.
Katanya, kemalangan itu menyebabkan dua mangsa maut manakala dua lagi individu yang menaiki Proton Saga cedera parah.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Mohd. Sarizan Mohammad Sapawi ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan dua mangsa yang tersepit. – UTUSAN










