KUALA LUMPUR: Selepas lebih enam bulan kontrak mereka tamat, beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah dijangka memuktamadkan kontrak baharu bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum Terbuka Jepun yang bermula 15 Julai ini.
Presiden BAM, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perbincangan bersama kedua-dua pemain berlangsung secara terbuka dan harmoni, namun pengesahan rasmi masih belum dimuktamadkan.
“Kita bersetuju yang Pearly-Thinaah ni terus akan memainkan peranan yang penting dalam sukan badminton negara. Kita dah hampir nak memuktamadkan. Perbincangan kita tinggal satu, dua isu saja yang saya rasa boleh kita selesaikan, insya-Allah.
“Tetapi masa yang diberikan, saya tetapkan tadi dan mereka juga bersetuju supaya sebelum Terbuka Jepun ini, kita buat satu pengumuman. Yang penting ialah kita nak pastikan kedua-dua atlet kita ni terus berjaya,” kata Zafrul ketika sidang akhbar selepas sesi libat urus bersama pemain di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, semalam.
Bagaimanapun, Zafrul menegaskan kedua-dua pihak telah bersetuju dengan garis masa yang ditetapkan, namun enggan mendedahkan butiran isu tertangguh yang masih menjadi penghalang kepada termeterainya kontrak baharu itu.
Mengulas kemungkinan pasangan itu mahukan ganjaran lebih tinggi, Zafrul mengakui perbincangan mengenai manfaat kontrak sentiasa menjadi perkara lumrah dalam mana-mana rundingan.
Menurut Zafrul, pakej bayaran berasaskan prestasi yang memberi jaminan dan pengiktirafan kepada sumbangan Pearly-Thinaah merupakan pendekatan yang sedang diperhalusi bersama pengurusan BAM.
“Apa yang penting kepada saya ialah bila kita menilai seseorang, dalam kes ini pasangan tersebut, kita juga perlu tetapkan sasaran. Kalau mereka lebih berjaya, kita patut beri ganjaran lebih,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, BAM turut mengumumkan pelantikan semula bekas perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin sebagai jurulatih sektor perseorangan bagi membantu pengarah kejurulatihan perseorangan kebangsaan, Kenneth Jonassen.
“Iskandar akan memulakan tugas pada 1 Oktober ini. Rundingan telah berlangsung dan akhirnya minggu lepas kami memuktamadkannya, dan beliau akan pulang dari Ireland,” kata Zafrul.
Jurulatih berusia 33 tahun itu sebelum ini berkhidmat bersama skuad kebangsaan Ireland sejak 2022 selepas dilantik sebagai jurulatih sepenuh masa.
Untuk rekod, beliau pernah muncul naib juara Masters Malaysia 2016 dan membawa anak didiknya Nhat Nguyen layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 buat julung kalinya. – UTUSAN










