LONDON: Ferrari dijangka memenangi satu perlumbaan Formula Satu (F1) sebelum tamat musim ini walaupun kehadiran pelumba Lewis Hamilton masih belum membuahkan hasil seperti yang diharapkan.
Hamilton dan rakan sepasukannya, Charles Leclerc sering bergelut dengan jentera SF-25 yang kurang kompetitif berbanding McLaren dan juga masih ketinggalan di belakang Red Bull yang dipandu Max Verstappen.
Namun, ada saat-saat yang membangkitkan harapan seperti kemenangan Hamilton dalam perlumbaan pecut di China dan prestasinya dalam sesi kelayakan Grand Prix (GP) Britain yang membawa kepada satu ramalan bahawa Ferrari akan memenangi sekurang-kurangnya satu perlumbaan musim ini.
“Ya. Mereka akan menang satu perlumbaan sebelum akhir tahun ini. Di Singapura mereka sepatutnya mempunyai peluang yang baik, jika melihat prestasi mereka di Monaco.
“Begitu juga di Monza. Mereka sentiasa kompetitif di Monza. Itu akan menjadi kisah dongeng yang sempurna untuk mana-mana pemandu mereka.
“Mereka sudah pun mempunyai peluang musim ini. Di Monaco, Leclerc berada di petak utama sementara sebelum McLaren melakukan pusingan kedua dan mengatasinya tetapi jika dibandingkan secara langsung dengan satu set tayar, dia mendahului.
“Di Silverstone, mereka boleh berada di barisan hadapan. Saya rasa mereka boleh dapat petak utama. Hamilton kehilangan sedikit masa.
“Potensinya memang ada. Saya akan terkejut jika mereka tidak menang satu perlumbaan pun tahun ini,” kata bekas pelumba F1, Jolyon Palmer. – AGENSI