PETALING JAYA: Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi terlepas kedudukan podium dalam acara final 100 meter lelaki Sukan Universiti Dunia (WUG) 2025 apabila menamatkan larian di tempat keempat, awal pagi tadi.
Azeem menamatkan larian dengan catatan 10.35 saat (s), dibelakang pemenang emas, Bayanda Walaza dari Afrika Selatan dengan masa 10.16s, perak menjadi milik wakil Thailand, Puripol Boonson (10.22s) dan atlet Jepun, Hiroki Yanagita (10.23s) meraih gangsa.
Masa yang dicatatkan atlet kelahiran Teluk Intan, Perak itu jauh daripada masa terbaiknya musim ini 10.20s, namun beliau mempamerkan peningkatan dalam tiga catatan masanya dalam saingan WUG 2025.
Terdahulu, penuntut Universiti Auburn di Amerika Syarikat (AS) itu layak ke final selepas menamatkan saringan tiga separuh akhir dengan catatan 10.43s dan memenangi peringkat saringan awal dengan catatan 10.57s.
Seterusnya, pelumba berusia 22 tahun itu akan membawa cabaran negara dalam acara 200m malam ini, selain turut beraksi dalam acara 4x100m yang bermula pada Sabtu ini.
Sementara itu, jaguh 400m negara, Umar Osman gagal melangkah ke final selepas menamatkan saringan dua separuh akhir 400m di tempat keenam dengan catatan 47.10s.- UTUSAN