PETALING JAYA: Tempat kelima kini menjadi sasaran baharu skuad Speedy Tigers selepas gagal melayakkan diri ke separuh akhir Piala Negara-Negara yang berlangsung di laman sendiri.
Ketua jurulatih negara, Sarjit Singh berkata, anak-anak buahnya tidak boleh memberi sebarang alasan, selain perlu menewaskan Afrika Selatan dalam aksi klasifikasi tempat kelima hingga lapan hari ini.
“Saya kumpulkan pemain dengan segera sebab saya nak mereka kembali fokus untuk dapatkan nombor lima. Kami kena dapatkan nombor lima. Kami tak boleh cakap kami akan main dalam penentuan ketujuh dan kelapan, tak boleh.
“Afrika Selatan lawan yang sukar tetapi kami kena kalahkan mereka. Cara pemain kita beraksi, saya tak nampak alasan untuk tidak melakukannya. Mengecewakan, namun apa lagi yang boleh diperkatakan. Kami kena dapatkan nombor lima terbaik, tiada lagi alasan,” katanya.
Layak ke separuh akhir menjadi sasaran awal Speedy Tigers, namun mereka gagal selepas menamatkan saingan Kumpulan B di tempat ketiga di belakang New Zealand dan juga Pakistan.
Mengulas mengenai kemenangan 2-1 ke atas Jepun kelmarin, Sarjit mengakui ketumpulan di bahagian serangan menjadi penyebab pasukan gagal mendapatkan lebih banyak gol untuk memintas Pakistan.
“Kita bermain dengan baik. Kita ada peluang untuk menjaringkan gol tetapi kita tak dapat. Mereka (Jepun) tiada peluang langsung dan hanya dapat pukulan sudut penalti. Kita tak dapat, tapi kita ada peluang terbuka dan kena manfaatkan peluang itu,” katanya.
Sarjit yang pernah beraksi di Sukan Olimpik pada 1984 dan 1992 menyeru penyokong untuk hadir ke stadium bagi meneruskan sokongan kepada pasukan meskipun Speedy Tigers gagal ke separuh akhir.-UTUSAN