PETALING JAYA: Shereen Samson Vallabouy mahu kembali lebih kuat selepas larian hambar dalam acara 400 meter (m) di Kejohanan Olahraga Asia (ATF) 2025 di Gumi, Korea Selatan pada 27 Mei lalu.
Atlet berusia 26 tahun itu sekadar mencatat 54.80 saat (s) untuk menduduki tempat kelima dalam saringan pertama dan gagal ke separuh akhir, jauh daripada rekod kebangsaan miliknya, 51.79s yang dicipta pada tahun lalu.
Shereen berkata, beliau tekad untuk bangkit semula pada kejohanan akan datang terutamanya selepas mendapat tiket wildcard ke Kejohanan Dunia Olahraga di Tokyo, Jepun pada September ini.
“Saya kecewa dengan larian saya. Ianya memang bukan hari saya, dan badan saya langsung tidak dapat memberikan larian yang baik.
“Saya perlu cari apa yang silap, bukan nak beri alasan, tapi saya harap boleh bangkit semula dalam kejohanan seterusnya,” kata Shereen.
Dalam pada itu, Pengarah Teknikal Olahraga Malaysia (MA), Robert Ballard menyifatkan Shereen sepatutnya mudah melepasi saringan berdasarkan prestasi semasa dan latihan intensifnya.
Reputasi Shereen sebagai pemenang pingat gangsa pada Sukan Asia Hangzhou pada 2023 sepatutnya mudah ke final, namun gagal mempamerkan larian bertenaga.
“Dia nampak sangat cergas ketika latihan sebelum kejohanan minggu lalu, tapi dalam perlumbaan ini dia seolah-olah hilang kawalan pada 100 meter terakhir,” katanya.
Ballard percaya pelari itu perlu mengkaji semula pendekatan taktikalnya kerana larian kali ini langsung tidak menyerupai prestasi sebenar Shereen.
Kejohanan ini menjadi pengajaran berguna buat Shereen menjelang penampilan wild card dalam Kejohanan Dunia di Jepun, September ini.
Pelari kelahiran Ipoh, Perak itu memecah rekod kebangsaan miliknya sebelum ini 51.80s pada kejohanan Music City Track Carnival di Tennessee, Amerika Syarikat (AS) pada Jun tahun lalu.-UTUSAN