PETALING JAYA: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) bersedia menilai semula format baharu Liga Sepak Takraw (STL) yang mendapat kritikan peminat sukan berkenaan.
Presidennya, Datuk Mohd. Sumali Reduan juga mengakui format baharu itu menimbulkan keresahan dalam kalangan penyokong yang menganggap sistem yang digunakan tidak adil.
“Perkara ini telah saya ajukan untuk dibincangkan bersama rakan-rakan strategik. Ia akan diperhalusi dalam beberapa hari selepas tamat Grand Prix (GP) Terengganu dan pihak kami akan maklumkan jika berlaku sebarang perubahan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Sumali, masih ada lima baki sirkit GP yang akan berlangsung dan pihaknya masih mempunyai masa untuk mempertimbangkan sebarang perubahan.
“Kita masih ada masa untuk ubah jika perlu, namun yang lebih penting bukan hanya soal suku akhir atau separuh akhir, tetapi sistem pungutan mata itu sendiri.
“Sistem tersebut yang akan menentukan juara keseluruhan liga. Jika cadangan perubahan itu tidak mengganggu sistem mata, kita boleh pertimbangkan,” ujarnya.
Tambahnya, isu berkenaan juga telah dibawa ke perbincangan bersama pengurusan PSM dan wakil penyirt, selain turut mengambil kira pandangan pihak penyiar rasmi kejohanan itu.
“InsyaAllah, saya akan berbincang lebih lanjut dengan rakanpenyiar kerana perubahan format ini melibatkan banyak aspek seperti kos produksi, masa siaran dan sistem pungutan mata,” jelasnya.
Terdahulu, STL memperkenalkan format baharu musim ini yang menyaksikan hanya juara kumpulan mara terus ke separuh akhir tanpa melalui pusingan suku akhir.
Berbeza dengan edisi-edisi sebelum ini yang lebih terbuka, format itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong sukan sepak takraw tanah air.-UTUSAN