DI kala umat Islam lain bersiap-sedia menanti waktu berbuka di meja makan, golongan ‘wanita besi’ ini masih ligat memecut motosikal meredah kesesakan kota.
Biarpun perut menahan lapar dan dahaga, tugasan menghantar pesanan pelanggan tetap diutamakan hingga menjelang azan Maghrib.
Masnizah Marzukir, 50, antara yang cekal menggalas tanggungjawab itu sejak tujuh tahun lalu.

Ibu tunggal kepada tujuh anak ini hanya berbuka dengan meneguk sedikit air sebelum kembali menghantar pesanan terakhir pelanggan.
Katanya, rutin itu turut menjadi amalan rata-rata penghantar makanan lain sepanjang di bulan Ramadan.
“Cara kami berbuka sangat pantas, bila azan berkumandang barulah motosikal dihentikan seketika di tepi jalan, itu pun cuma untuk minum sahaja.
“Belum sempat azan habis, kami sudah meneruskan semula perjalanan demi memastikan pesanan sampai ke tangan pelanggan tepat pada waktunya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia dalam kempen Kongsi-Eid Forward anjuran Starbucks Malaysia baru-baru ini.
Ujar Masnizah, perutnya hanya diisi dengan makanan apabila pulang ke rumah di Sungai Buloh sekitar pukul 9 hingga 10 malam.
Dia lebih selesa berbuka dengan ditemani ahli keluarga, apatah lagi dapat menikmati air tangan anak-anak sendiri.
Sebelum bergelar penghantar makanan, wanita ini pernah mencuba pelbagai pekerjaan daripada kilang, jurujual insurans dan kad kredit, pelakon tambahan hinggalah pembantu jualan di kedai kosmetik.
Semuanya dilakukan demi mencari nafkah untuk menyara anak-anak setelah berpisah dengan suami 17 tahun lalu.
“Kerjaya paling lama yang saya lakukan ialah penghantar makanan, walaupun mencabar tetapi saya tertarik dengan konsep gaji hariannya.
“Sebagai ibu tunggal, setiap hari otak saya sentiasa berfikir tentang duit untuk makan dan keperluan keluarga,” katanya.
Lebih-lebih lagi di usianya sekarang, mencari kerja lain bukan mudah, manakala gaji bulanan pula tidak mencukupi untuk menampung kehidupan harian.
Hasil usaha dan penat lelah Masnizah di jalan raya, membolehkannya meraih kira-kira RM3,000 sebulan.
“Di awal pembabitan, upahnya lebih lumayan dan saya selalu bekerja sampai lewat malam.
“Ada ketikanya saya sampai tertidur di meja restoran makanan segera di Kota Damansara bersama kumpulan rider (penghantar makanan) lelaki lain kerana menunggu pesanan masuk.
“Walaupun ada segelintir yang memperlekehkan kerjaya kami sebagai tiada masa depan, tetapi inilah mata pencarian mudah bagi golongan ibu tunggal seperti saya demi terus menyara keluarga,” katanya.
Dia juga mengakui, sebahagian besar rider wanita kini merupakan golongan ibu tunggal yang gigih mencari rezeki untuk kelangsungan hidup.
Cabaran cuaca, kemalangan
Bagi anak jati Felda Palong di Gemas, Negeri Sembilan ini, cuaca sering menjadi ujian terbesar dalam dunia penghantaran makanan.
Beberapa kali, motosikalnya hampir tergelincir akibat hujan lebat, angin kencang dan jalan licin.
“Saya dan kawan-kawan lebih rela menempuh panas terik daripada hujan lebat.
“Kalau terlalu lebat, kami tidak akan meredahnya kerana menunggang motosikal dalam keadaan itu sangat berbahaya,” katanya.
Selain cabaran cuaca, dia juga kerap terlibat dalam kemalangan ketika menghantar pesanan.
Dahulu, boleh dikatakan dua hingga tiga kali kejadian itu menimpanya dalam sebulan.
Akibatnya, kaki, bahu dan tulang rangkanya retak kerana terjatuh dari motosikal.
“Mungkin sebab dulu saya terlalu mengejar trip pesanan yang banyak sampai tidak perasan kehadiran kenderaan lain di sekeliling,” katanya.
Terima tip daripada pelanggan
Seorang lagi ibu tunggal, Roslinda Haron, 44, tidak pernah menyangka dirinya terjebak sebagai penghantar makanan.

Selepas kehilangan pekerjaan sebagai penyambut tetamu di sebuah hotel akibat pandemik Covid-19, dia terpaksa mencari sumber pendapatan baru demi menyara anak-anak yang masih kecil.
Sepanjang Ramadan ini, rutin kerjanya bermula dari pukul 8.30 pagi selepas selesai menghantar dua puterinya yang berusia enam dan 11 tahun ke sekolah.
“Saya atur kerja secara dua syif dari 8.30 pagi hingga 2 petang dan terus pulang ke rumah.
“Dalam tempoh itu, saya sempat memasak dan menguruskan anak-anak sebelum menyambung semula kerja dari pukul 5 petang hingga 9 malam,” katanya.
Seperti Masnizah, dia juga berbuka di tepi jalan dengan menghirup air dan hanya mula makan apabila balik ke rumah.
Menariknya, di bulan mulia ini, Roslinda kerap dihadiahkan tip oleh pelanggan, sekali gus menjadi dorongan kecil yang menguatkan semangatnya untuk bekerja.
“Berbanding lelaki, rider perempuan kebiasaannya diberi layanan lebih baik oleh pelanggan.
“Lebih-lebih lagi bila tengok kami bekerja hingga ke malam dengan tip itu kadang-kadang mencecah sehingga RM50,” katanya.
Kempen hargai penghantar makanan
Komuniti penghantar makanan di negara ini tidak dipinggirkan apabila mereka menerima sumbangan pakej makanan sedia dimakan (RTE) dan minuman Ramadan daripada Starbucks Malaysia.

Ketua perhubungan awam & komunikasi Berjaya Starbucks, Alia Emira Ismail berkata, inisiatif rider-to-eat yang julung kali dianjurkan itu membabitkan peruntukan sebanyak RM39,760.
Ia bersempena kempen Ramadan Kongsi-Eid Forward bagi menghargai dedikasi dan ketabahan para penghantar makanan yang bekerja tanpa mengenal penat terutama sepanjang Ramadan sambil menguruskan jadual penghantaran yang padat.
“Penghantar makanan memainkan peranan penting dalam memastikan komuniti kita terus bergerak.
“Semoga sumbangan kecil ini dapat memastikan mereka mempunyai juadah untuk berbuka sambil terus menunaikan tanggungjawab kepada orang lain,” katanya.
Inisiatif rider-to-eat turut diperluaskan di Starbucks Bayan Baru, Pulau Pinang dan di Eco Boulevard, sebelum berakhir di Starbucks Prima 5 DT, Cyberjaya, menjelang akhir Ramadan.










