Tempoh jawatan Peguam Negara, Pendakwa Raya antara dibincangkan - Utusan Malaysia

Tempoh jawatan Peguam Negara, Pendakwa Raya antara dibincangkan

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tempoh jawatan dan had umur serta mekanisme penamatan jawatan merupakan antara lima perkara yang dibincang dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pindaan Perlembagaan Berkaitan Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, semalam.

Turut disentuh adalah mekanisme pelantikan; syarat, kelayakan dan larangan serta akauntabiliti institusi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, secara prinsip semua ahli Parlimen di kedua-dua blok bersetuju bahawa pengasingan kuasa perlu dilaksanakan.

Katanya, penyata Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 itu dijangka dimuktamadkan 18 Mei ini, sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jun.

“Pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya sangat diperlukan dan sekiranya mampu ia harus dilaksanakan pada tahun ini juga.

“Mesyuarat juga bersetuju bahawa empat orang pakar akademik perundangan dan Perlembagaan akan dijemput untuk memberikan pandangan. Kemudian diikuti pula dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengemukakan pandangan mereka secara bertulis,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pindaan Perlembagaan Berkaitan Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya di Parlimen.

Azalina berkata, sesi perbincangan melibatkan jawatankuasa itu akan diteruskan dalam lima sesi yang dijadualkan berlangsung pada April dan Mei sebelum dimuktamadkan pada 18 Mei.

Katanya, pengasingan kuasa kedua-dua jawatan itu penting untuk dilaksanakan kerana terdapat defisit kepercayaan dalam kalangan rakyat terhadap jawatan tertentu dalam kerajaan.

“Semua parti politik faham bahawa kerajaan berdepan dengan cabaran terhadap jawatan tertentu. Saya tidak akan menafikan bahawa terdapat defisit kepercayaan yang besar terhadap jawatan tertentu.

“Saya tidak bercakap mengenai jawatan politik tetapi jawatan tertentu (dalam kerajaan),” katanya.

Pada 3 Mac lalu, Azalina memaklumkan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 bertujuan mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat.

Beliau membawa usul itu selepas bacaan kali kedua RUU berkenaan bagi memberi ruang kepada semua pihak berkaitan memperhalusi dan menelitinya.

Jawatankuasa itu dianggotai wakil kerajaan iaitu Ahli Parlimen Selayang, William Leong; Syahredzan Johan (PH-Bangi); Adly Zahari (PH-Alor Gajah) serta Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong).

Turut serta Roy Angau anak Gingkoi (GPS-Lubok Antu), Datuk Lo Su Fui (GRS-Tawau) dan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor).

Wakil pembangkang pula terdiri daripada Ahli Parlimen Larut yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu); Datuk Seri Dr. Ronald Kiande (PN-Beluran) dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN