Pemain profesional perlukan sokongan fisioterapi

Pemain profesional perlukan sokongan fisioterapi

PEMAIN badminton profesional negara, duduk dari kiri, Shevon Lai Jemie, Goh Soon Huat, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani. - FB Hannah Yeoh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, Goh Liu Ying menyifatkan sokongan penuh program Road To Gold (RTG) kepada pemain badminton profesional negara sangat tepat.

Liu Ying berkata, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani dan Goh Soon Huat-Shevon Jamie Lai yang berada dalam program RTG bukan sahaja memerlukan tempat latihan yang kondusif, tetapi, juga kemudahan lain seperti sokongan fisioterapi.

“Pemain profesional kehilangan kemudahan tempat latihan bersama skuad kebangsaan, jadi, mereka memang memerlukan bantuan penuh daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

“Untuk ke Sukan Olimpik, mereka bukan sahaja perlukan tempat latihan yang lebih privasi, tetapi juga pasukan sokongan (sains sukan) yang mampu membantu mereka ketika berdepan kecederaan,” katanya selepas Majlis Pelancaran Kidslympic, semalam.

Kelmarin, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, Jawatankuasa RTG akan membantu pemain badminton profesional mendapatkan latihan yang lebih kondusif memandangkan pada ketika ini atlet-atlet berkenaan menjalani latihan di tempat terbuka kepada orang ramai.

Kata Liu Ying, perkhidmatan seperti fisioterapi sewaktu kejohanan berlangsung sangat kritikal bagi memastikan prestasi atlet terlibat tidak jatuh mendadak terutama ketika terpaksa mengharungi jadual padat Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

“Selalunya BWF mempunyai satu hingga empat kejohanan dalam tempoh sebulan, jadi, bagi pemain utama keadaan itu akan menjadi cabaran buat mereka.

“Kalau anda dah masuk dua final, penampilan dalam kejohanan ketiga mesti akan jatuh, jadi, macam mana hendak kekal konsisten, sebab itu pasukan sokongan amat penting,” katanya.

Mengulas mengenai Kidslympic, dia yang merupakan pengasas bersama program itu berkata, tahun ini pihaknya menyasarkan lebih banyak penyertaan berbanding tahun lepas iaitu kira-kira 5,000 penyertaan yang akan diadakan di Stadium Merdeka pada 10-12 Oktober ini.

“Kumpulan sasaran kita ialah kanak-kanak di bawah umur 12 tahun dengan tujuh hingga sembilan sukan bakal dipertandingkan.

“Kita ada gimnastik, olahraga, bola tampar dan juga bola keranjang, tetapi, badminton kita masih tak ada kerana tumpuan kita ialah kepada sukan kurang popular tetapi sukan utama di negara ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN