PETALING JAYA: Kejayaan Pearly Tan-M. Thinaah muncul naib juara Terbuka Indonesia 2025 bakal melonjakkan ranking beregu wanita No. 1 Malaysia itu ke kedudukan No. 3 dunia, hari ini.
Ranking semasa Pearly-Thinaah pada ketika ini ialah No. 4 dunia dan sebagai naib juara Terbuka Indonesia yang berstatus Super 1,000, mereka meraih 10,200 mata tambahan.
Kutipan mata tersebut bakal membawa Pearly-Thinaah melonjak satu anak tangga ke No. 3 dunia yang merupakan pencapaian terbaik dalam karier beregu itu.
Pearly-Thinaah juga mencipta sejarah sebagai beregu wanita No. 2 terbaik di belakang Chin Ee Hui-Wong Pei Tty yang pernah bergelar pasangan No. 1 dunia pada 13 Mei 2009.
Hari ini, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bakal mengemas kini ranking dunia dan Pearly-Thinaah secara rasmi akan bergelar beregu No. 3 dunia.
Selain Pearly-Thinaah, turut menikmati kenaikkan ranking ialah beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang akan melonjak daripada kedudukan No. 3 ke No. 2 dunia.
Sementara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani masih kekal di ranking No. 1 dunia dan ini bermakna dua gandingan negara akan menguasai dua posisi teratas sebaik senarai ranking BWF dikeluarkan secara rasmi, hari ini.
Pencapaian itu juga menyaksikan Malaysia muncul sebagai negara ketiga selepas Indonesia dan Korea Selatan yang berjaya berbuat demikian sebelum ini.
Pearly ketika ditemu bual BWF selepas tewas kepada beregu beregu No. 1 dunia, Liu Sheng Shu-Tan Ning dari China pada final Terbuka Indonesia berkata, untuk menjadi pencabar terkuat gandingan itu mereka memerlukan mental yang ampuh.
“Bagi saya dari segi stamina kami lebih kurang sama, jika kami penat, mereka pun sama, tetapi, kekuatan mental terutama ketika berada di mata genting yang perlu diberi perhatian,” katanya.
Pemain berusia 25 tahun itu mengakui dia kecewa kerana kesilapan yang dilakukannya ketika saat genting membawa kepada kekalahan mereka.
“Saya agak kecewa kerana kesilapan itu hadir daripada saya. Saya selalu ingatkan kepada diri sendiri jangan tergesa-gesa dan kekurangan inilah yang saya perlu belajar lagi,” katanya.-UTUSAN










