KUALA LUMPUR: Langkah cemerlang Aaron Chia-Soh Wooi Yik akhirnya tersekat di tangan pasangan Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard pada pusingan pertama Terbuka Indonesia, hari ini.
Beregu No. 3 dunia itu tunduk 21-13, 19-21, 21-18 dalam aksi yang berlangsung selama 68 minit di Istora Senayan, Jakarta.
Ianya sekali gus menamatkan rentetan empat final berturut-turut yang disertai Aaron-Wooi Yik, termasuk tiga kejuaraan yang diraih di Kejohanan Asia, Terbuka Thailand dan Terbuka Singapura.
“Kami sudah beri yang terbaik, mungkin nasib tidak menyebelahi kami kali ini,” kata Aaron selepas perlawanan.
Pasangan negara itu menunjukkan semangat juang tinggi apabila bangkit dalam set kedua untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.
“Kami tak menyerah, kami cuba main setiap mata dengan sepenuh tenaga.
“Kami tetap cuba guna kekuatan mental, tapi tak boleh nafikan mereka bermain lebih baik dan lebih segar hari ini,” kata Wooi Yik.
Kekalahan itu merupakan yang kedua kepada Kjaer-Sogaard dalam lima pertemuan, selepas tewas di Kejohanan Badminton All England pada Mac lalu.
Sementara itu, Leong Jun Hao menjadi satu-satunya wakil perseorangan lelaki negara yang mara ke pusingan kedua selepas menewaskan Chico Aura Dwi Wardoyo dari Indonesia 21-13, 21-12.
Dalam saingan wanita, Goh Jin Wei terus bergelut apabila tersingkir di pusingan pertama selepas tunduk kepada pemain Scotland, Kirsty Gilmour 22-20, 21-16. – UTUSAN