PETALING JAYA: Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski mengakui kemenangan ke atas Vietnam menyelamatkan dirinya, Tunku Mahkota Ismail dan juga pemain daripada menjadi mangsa kecaman.
Jelasnya, skuad Harimau Malaya berjaya menutup mulut segelintir pengkritik selepas membelasah pasukan di ranking ke-109 dunia itu dengan keputusan 4-0 pada aksi kedua Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin.
Cklamovski turut mendakwa terdapat isu dalaman termasuk politik serta halangan tertentu yang terpaksa dihadapi skuad negara dalam usaha membawa pasukan ini ke tahap lebih baik.
Justeru, Cklamovski berharap semua pihak dapat bersatu bagi memastikan revolusi Harimau Malaya yang dicetuskan Tunku Mahkota Ismail terus berjalan seperti dirancang , sekali gus mampu membanggakan seluruh rakyat Malaysia.
“Jika kami tidak menang malam ini (kelmarin), ia akan berubah. Mereka akan kejar kami, kejar TMJ (Tunku Mahkota Ismail), mereka akan kejar saya kerana jurulatih yang teruk.
“Mereka akan kejar pemain, semuanya kerana keputusan perlawanan. Tetapi sekarang mereka akan jadi kawan baik, mereka akan berada di sebelah saya. Namun, ia bagus kerana kita bersatu sebagai sebuah negara
“Saya mahu setiap orang, setiap penyokong untuk berada di belakang pemain dan mereka berhak mendapatkannya. Semua peminat bola sepak Malaysia harus bersatu untuk membawa negara ini ke depan,” katanya selepas perlawanan.
Terdahulu, terdapat sesetengah pihak mengkritik usaha pasukan kebangsaan termasuk kehadiran lima pemain warisan baharu Facundo Garces, Jon Irazabal, Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca.
Bagaimanapun, kesemua pemain itu memberi impak besar buat Harimau Malaya apabila membantu skuad negara menamatkan badi 11 tahun tidak menang ke atas Vietnam dengan Figueiredo dan Holgado menyumbang gol dalam perlawanan tersebut.
Kemenangan itu juga membolehkan Malaysia di kedudukan teratas Kumpulan F dengan mengumpul enam mata selepas mengharungi dua perlawanan, tiga mata di depan Vietnam dan Laos, manakala Nepal di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.
Tambah Cklamovski, beliau berbangga dengan persembahan yang ditunjukkan semua pemain selain amat teruja dengan sokongan padu yang diberikan seluruh penyokong di gelanggang keramat Harimau Malaya.
“Amat menakjubkan, terima kasih kepada semua penyokong yang hadir memenuhi stadium dan menjadikan perkara istimewa kepada pemain, tanpa mereka, bola sepak tidak bermakna.
“Pemain bekerja keras bersama untuk membanggakan Malaysia dan ia budaya yang indah dalam bola sepak Malaysia. Saya lihat semangat dan sokongan, setiap orang bersorak,” ujarnya.-UTUSAN