KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi lampu hijau kepada jaguh badminton negara, Lee Zii Jia untuk kembali menyertai Program Road to Gold (RTG) sebagai persiapan menghadapi temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan pemain profesional itu minggu lalu bagi menerangkan secara terperinci manfaat program berkenaan yang turut memberi tumpuan kepada pemain bukan di bawah naungan persatuan.
“Saya dah jumpa Lee Zii Jia minggu lepas. Kami jelaskan kelebihan menyertai RTG dan saya harap sangat dia akan kata ‘ya’.
“Tiada apa yang rugi. Ini inisiatif kerajaan untuk beri kemudahan tambahan, termasuk kepada pemain profesional,” katanya.
Menurut Hannah, tempoh ke Olimpik LA 2028 masih jauh, dan dalam tempoh tiga tahun itu pelbagai kemungkinan boleh berlaku termasuk risiko kecederaan.
Katanya, antara kelebihan berada dalam program RTG ialah sokongan daripada segi pemulihan jika pemain mengalami kecederaan, seperti yang pernah diterima oleh Datuk Azizulhasni Awang dan Ng Tze Yong.
“Saya harap Tze Yong tidak berputus asa dan teruskan perjuangan sehingga pulih sepenuhnya.
“Melihat kepada perkembangan semasa termasuk kehadiran jurulatih baharu di BAM, saya sangat berharap kita mampu kekal konsisten dan layak ke final dalam kejohanan-kejohanan penting,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penutup Kejohanan Badminton Antarabangsa Daikin, hari ini.
Zii Jia, 27, yang kini menghuni ranking ke-15 dunia sedang memberi tumpuan kepada proses pemulihan selepas mengalami kecederaan ketika menyertai Jelajah Dunia Akhir BWF, Disember tahun lalu.
Mengulas lanjut, Hannah menegaskan bahawa keputusan akhir untuk menyertai RTG terletak sepenuhnya di tangan Zii Jia namun beliau berharap pemain itu dapat mempertimbangkan segala aspek, termasuk kelebihan jangka panjang yang ditawarkan program tersebut.
“Keputusan akhir di tangan Zii Jia, begitu juga dengan pasangan beregu profesional, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei.
“Datuk Stuart Ramalingam selaku penyelaras RTG sedang mengumpul senarai akhir dan kita jangka memuktamadkannya hujung Jun memandangkan pemain-pemain kini sibuk dengan kejohanan masing-masing,” ujarnya.
Difahamkan, KBS akan mengadakan satu majlis khas menandatangani penyertaan rasmi melibatkan semua atlet terpilih sebaik sahaja senarai muktamad dimeterai.
Terdahulu, Zii Jia pernah menolak tawaran menyertai RTG kerana ingin memberi fokus terhadap perancangan latihan tersendiri bersama pasukannya.-UTUSAN