KUALA LUMPUR: Harimau Malaya tidak akan memandang mudah ancaman Vietnam meskipun mereka tidak dapat menurunkan penyerang utama, Nguyen Cong Phuong dan Nguyen Xuan Son dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam ini.
Kapten Malaysia, Matthew Davies berkata, walaupun situasi itu memberi sedikit kelegaan, namun, dia tetap mengingatkan rakan sepasukan agar berwaspada bagi memastikan skuad negara tidak terlepas tiga mata penting di halaman sendiri.
Katanya, Malaysia ketika ini lebih memberi tumpuan kepada persiapan pasukan sendiri bagi memastikan setiap perancangan berada pada tahap terbaik berbanding memberi perhatian terhadap kekuatan lawan dalam aksi kedua Kumpulan F itu.
“Saya rasa kita perlu berada pada tahap terbaik dan bersedia untuk segala kemungkinan. Secara jujur, perbezaan terbesar di bawah Peter (Cklamovski) ialah kami memberi lebih tumpuan kepada aksi berpasukan.
“Justeru, kami tidak terlalu memikirkan ketiadaan pemain penting dalam pasukan lawan kerana mereka pasti mempunyai pengganti berkualiti untuk mengisi kekosongan itu.
“Lebih baik kami fokus kepada persiapan sendiri kerana kami tahu kualiti yang dimiliki oleh pasukan Vietnam,” katanya.
Pemain berusia 30 tahun itu, menyatakan barisan kejurulatihan berjaya membentuk keserasian dalam kalangan pemain, termasuk lima pemain warisan baharu yang melaporkan diri ke kem latihan pusat Harimau Malaya sejak minggu lalu.
“Pada awalnya, sudah tentu kami menghadapi masalah komunikasi kerana jurang bahasa yang berbeza. Namun, kami semua berada di sini dengan misi yang sama untuk menyarung jersi kebangsaan dan memikul tanggungjawab.
“Saya harap kita tidak menilai mereka daripada sudut pandang yang berbeza kerana semua pemain ini memiliki kualiti dan sudah membuktikannya apabila beraksi di peringkat kelab di luar negara,” katanya.-UTUSAN