MUNICH: Pengendali Inter Milan, Simone Inzaghi mengakui kekalahan memalukan 5-0 di tangan Paris Saint-Germain (PSG) pada final Liga Juara-Juara, semalam langsung tidak menggambarkan wajah sebenar pasukannya.
Kekalahan memalukan itu menyaksikan Inter bukan sahaja terlepas peluang menjulang kejuaraan Eropah buat kali keempat, malah menamatkan musim ini tanpa sebarang trofi selepas gagal dalam Serie A dan Coppa Italia.
“Ia sama sekali tidak terasa seperti Inter saya di atas padang dan para pemain sendiri tahu hakikat itu,” kata Inzaghi dalam sidang media selepas perlawanan.
PSG yang diketuai pemain muda sensasi, Desire Doue, tampil garang dengan dua jaringan peribadi serta satu bantuan gol kepada Achraf Hakimi.
Khvicha Kvaratskhelia dan pemain gantian, Senny Mayulu turut mencatat nama sebagai penjaring, menjadikan kemenangan itu yang terbesar dalam sejarah final kejohanan berprestij itu.
Inzaghi yang sebelum ini membawa Inter mara ke final menerusi kemenangan dramatik ke atas Barcelona, mengakui pasukannya tidak mampu menyaingi kekuatan fizikal dan tempo permainan PSG.
“Kami jelas lebih letih. PSG sudah menamatkan liga mereka lebih awal, sedangkan kami masih bersaing hingga hujung minggu lalu. Ia memberi kelebihan besar kepada mereka,” ujarnya.
Inzaghi tidak menafikan kehebatan PSG, namun kesal dengan cara anak buahnya ‘menyerah awal’ dan gagal memberikan tentangan sewajarnya dalam pentas sebesar itu.
“Kami tidak bermain final seperti sepatutnya. Dari aspek teknikal dan mental, kami ketinggalan. Kami tahu PSG pasukan lebih kuat, dan mereka layak menang,” katanya.
Inter kini perlu bangkit menjelang saingan Piala Dunia Kelab di Amerika Syarikat (AS) pertengahan bulan ini, namun Inzaghi enggan mengulas lanjut mengenai masa depannya bersama kelab.- AGENSI