PETALING JAYA: Gandingan mantap Fatin Nurfatehah Mat Salleh, Saritha Cham Nong dan Ng Sui Kim mencipta sensasi apabila menghadiahkan pingat emas sulung buat skuad compound wanita negara di Piala Asia Siri 2 di Singapura, hari ini.
Trio negara menumpaskan pilihan utama kejohanan, India dengan keputusan dramatik menerusi penentuan shoot-off selepas terikat 232-232 di lapangan Bukit Gombak.
Aksi berani dan tenang membuahkan hasil apabila trio negara mengumpul 29 mata dalam penentuan, berbanding lawan yang sekadar mencatat 26 mata.
Skuad negara turun sebagai pilihan ketiga kejohanan, namun membuktikan mereka bukan pelengkap jadual apabila berjaya menjinakkan gergasi Asia itu.
Kejayaan ini menjadi tonik terbaik buat kem negara menjelang cabaran lebih besar di Sukan SEA Thailand 2025, hujung tahun ini. – UTUSAN