Sembilan negara EU desak henti perdagangan dengan penempatan haram Israel - Utusan Malaysia

Sembilan negara EU desak henti perdagangan dengan penempatan haram Israel

PENEROKA haram Israel duduk di dalam pos yang didirikan di kampung Mughayyir al-Deir di daerah Dayr Dibwan, timur Ramallah di Tebing Barat yang diduduki. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRUSSELS: Sembilan negara anggota Kesatuan Eropah (EU) menggesa Suruhanjaya Eropah supaya mengemukakan cadangan konkrit untuk menghentikan perdagangan antara EU dengan penempatan haram Israel di wilayah Palestin yang diduduki, menurut sepucuk surat yang dilihat oleh agensi Reuters pada Khamis.

Surat tersebut yang dialamatkan kepada Ketua Dasar Luar EU, Kaja Kallas, ditandatangani oleh menteri-menteri luar dari Belgium, Finland, Ireland, Luxembourg, Poland, Portugal, Slovenia, Sepanyol dan Sweden.

EU merupakan rakan dagang terbesar Israel, menyumbang kira-kira satu pertiga daripada jumlah keseluruhan perdagangan barangannya dan nilai dagangan dua hala antara blok itu dan negara tersebut mencecah 42.6 bilion euro (RM244 bilion) tahun lalu, meskipun tidak jelas berapa banyak daripada jumlah itu melibatkan barangan dari penempatan haram.

Para menteri berkenaan merujuk kepada pendapat penasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Julai 2024, yang menyatakan pendudukan Israel ke atas wilayah Palestin dan pembinaan penempatan di situ adalah menyalahi undang-undang antarabangsa.

ICJ turut menegaskan negara-negara seharusnya mengambil langkah untuk menghentikan sebarang bentuk hubungan dagangan atau pelaburan yang menyumbang kepada kelangsungan situasi tersebut.

“Kami memerlukan Suruhanjaya Eropah untuk merangka cadangan langkah konkrit bagi memastikan pematuhan EU terhadap obligasi yang telah dikenalpasti oleh Mahkamah,” tambah mereka.

Misi diplomatik Israel ke EU setakat ini tidak memberikan sebarang kenyataan balas di mana Menteri Luar Belgium, Maxime Prevot menegaskan dasar perdagangan Eropah mesti sejajar dengan undang-undang antarabangsa.

“Perkara ini berkaitan dengan memastikan dasar-dasar EU tidak menyumbang, secara langsung mahupun tidak langsung, kepada penerusan situasi yang tidak sah di sisi undang-undang,” ujar beliau.

Surat para menteri itu dikemukakan menjelang mesyuarat menteri-menteri luar EU di Brussels pada 23 Jun ini, yang dijangka membincangkan semula hubungan blok Eropah dengan Israel.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×