PETALING JAYA: Bintang Harimau Malaya, Arif Aiman Mohd Hanapi tidak gentar dengan kehadiran pemain warisan dan bersedia bersaing merebut tempat dalam kesebelasan utama skuad negara.
Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia empat kali berturut-turut itu mengakui kehadiran pemain warisan dalam skuad kebangsaan banyak membantu pasukan, selain membuka ruang untuk dirinya memperbaiki prestasi.
“Kedatangan pemain baharu amat membantu pasukan kami dan saya akan terus bersaing untuk merebut tempat serta meletakkan diri saya dalam kesebelasan utama,” kata pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu.
Perlawanan menentang Vietnam dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa lalu menyaksikan Harimau Malay diperkuatkan oleh lima pemain warisan baharu.
Dalam aksi itu Facundo Tomas Garces, Jon Irazabal Iraurgui, Joao Figueiredo dan Rodrigo Holgado berada dalam kesebelasan utama Harimau Malaya, manakala Imanl Machuha turun sebagai pemain simpanan.
Perlawanan itu turut menyaksikan hanya Arif Aiman dan penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi, sebagai pemain tempatan yang beraksi, manakala selebihnya terdiri daripada pemain berdarah kacukan.
Bagaimanapun, Arif Aiman tetap menyerlah apabila menjadi nadi utama skuad kendalian Peter Cklamovski dengan menyumbang dua bantuan gol untuk olgado dan juga Corbin Ong.
Dalam pada itu, Arif Aiman turut memuji persembahan rakan sepasukannya yang berjaya menundukkan Vietnam, meskipun sedar akan reputasi tinggi pasukan lawan.
“Alhamdulillah, walaupun tiada rezeki untuk saya menjaringkan gol, kami beraksi sebagai satu pasukan untuk menghasilkan jaringan dan bermain dengan baik.
“Kami juga berjaya mengawal perlawanan kerana kita tahu Vietnam merupakan antara pasukan yang cukup baik,” ujarnya.-UTUSAN