PETALING JAYA: Ranking No.1 dunia kini menjadi buruan Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjelang Kejohanan Dunia di Paris, Perancis pada Ogos depan.
Jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi berkata, ranking teratas itu penting bagi memastikan Aaron-Wooi Yik mendapat undian yang lebih baik di kejohanan paling berprestij itu.
“Sekarang pun Aaron-Wooi Yik berada No. 2 ya. Menurut saya itu cukup baik dalam kedudukan sebagai pilihan (seeding) di Kejohanan Dunia.
“Kalau mereka mampu No. 1, saya rasa lebih baik (untuk undian) tapi itu memang bukan sasaran utama. Kita lebih fokus dalam setiap kejohanan disertai,” kata Herry selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, semalam.
Ketika ini beregu profesional Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani berada di kedudukan teratas dengan 91,090 mata hanya dipisahkan 1,220 mata dengan Aaron-Wooi Yik (89,870 mata).
Dengan perbezaan mata yang tipis, Aaron-Wooi Yik berpeluang memintas mereka pada Terbuka Jepun yang bermula pada 15 hingga 20 Julai dan Terbuka China (22-27 Julai).
Herry juga yakin peluang untuk Aaron-Wooi Yik merampas takhta No.1 dunia daripada Sze Fei-Izzuddin terbuka jika terus menunjukkan prestasi konsisten dalam kejohanan selepas ini.
“Setiap pemain ada peluang. Bukan hanya Aaron-Wooi Yik. Man Wei Chong-Tee Kai Wun juga berpeluang. Mereka semua ada impiam dan semangat untuk menjadi No. 1 dunia,” katanya.-UTUSAN