Tunjuk ajar Tang Jie beri Wen Tse keyakinan

Tunjuk ajar Tang Jie beri Wen Tse keyakinan

Chan Wen Tse
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Aksi memberangsangkan di Terbuka Taiwan minggu lalu membuktikan pemain beregu campuran muda negara, Chan Wen Tse mampu melangkah jauh apabila digandingkan dengan pemain senior, Chen Tang Jie.

Pemain berusia 20 tahun itu tidak menyangka percubaan kali pertama bersama Tang Jie mampu membawa mereka ke separuh akhir kejohanan berstatus Super 300 itu sebelum tewas kepada gandingan Indonesia, Jafar Hidayatullah-Felisha Pasaribu.

“Walaupun kami tewas, saya banyak belajar daripada Tang Jie dan bersyukur diberi peluang ini, saya akan bekerja lebih keras selepas ini.

“Saya tak sangka boleh ke separuh akhir, tapi sentuhan Tang Jie benar-benar beri saya keyakinan,” kata Wen Tse kepada Utusan Malaysia.

Pasangan sementara itu dibentuk selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memisahkan seketika Tang Jie dan Toh Ee Wei susulan ketegangan dalaman yang berlaku sebelum Piala Sudirman yang berlarutan sejak Sukan Olimpik Paris 2024.

Sementara itu, Wen Tse bakal beraksi di Malaysia Masters minggu depan bersama Tang Jie buat kali terakhir sebelum kembali bergandingan dengan Wee Yee Hern di kejohanan seterusnya.

Menurut Wen Tse, pengalaman yang tidak ternilai di Terbuka Taiwan itu membakar semangatnya untuk membuat yang terbaik terutamanya beraksi di hadapan penyokong tanah air.

“Sememangnya ia pengalaman saya untuk belajar dalam kejohanan yang besar dan status lebih tinggi. Saya akan buat terbaik lagi di Malaysia Masters, minggu depan,” katanya.

Malaysia Masters minggu depan menjadi pentas terakhir buat gandingan ‘sementara berbahaya’ ini sebelum Tang Jie kembali bersama Ee Wei di Terbuka Singapura pada 27 Mei ini.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN