PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus mempertingkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan mereka dengan pembukaan pejabat baharu Cawangan Langkawi di Jalan Padang Matsirat dekat sini secara rasmi pada 15 Januari depan.
Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong berkata, pembukaan pejabat baharu itu dilengkapi prasarana yang lebih moden dan selesa bagi urusan masyarakat setempat.
Menurutnya, langkah ini juga dapat memperkukuh imej jabatan dan kesiapsiagaan operasi warga kerja dalam menjalankan tugas pencegahan rasuah dengan sokongan sistem keselamatan serta logistik yang lebih mantap.
“Meskipun SPRM sedang dalam tempoh peralihan pejabat, saya memberi jaminan bahawa saluran aduan awam akan tetap beroperasi sepenuhnya demi memastikan fungsi pencegahan rasuah tidak terganggu.
“Matlamat utama kami adalah untuk memberikan perkhidmatan yang lebih profesional, telus dan selesa kepada semua pihak yang berurusan dengan jabatan ini,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja dua hari bagi meninjau bangunan pejabat baharu serta melawat pejabat sedia ada yang ketika ini beroperasi di Bangunan LADA di sini hari ini.
Katanya, lawatan kerja ini bertujuan untuk memastikan segala persiapan logistik dan prasarana bangunan baharu tersebut berjalan lancar sebelum proses pertukaran pejabat bermula sepenuhnya pada Januari depan.
Tinjauan turut disertai oleh Ketua Cawangan SPRM Langkawi, Izham Ibrahim.
Tambahnya, pemeriksaan rapi terhadap kemudahan pejabat dan ruang kerja telah dilaksanakan bagi memastikan ia memenuhi standard yang ditetapkan bagi tujuan penguatkuasaan.
“Makluman rasmi mengenai perpindahan ini akan disampaikan kepada semua Ketua Jabatan di daerah ini serta dimaklumkan menerusi portal rasmi jabatan,” ujarnya.
Urusan perpindahan aset dan kelengkapan pejabat dijadualkan bermula pada minggu ketiga Januari 2026, di mana pejabat baharu ini akan mula menggunakan alamat rasmi sepenuhnya pada 15 Januari 2026.
Sehubungan dengan itu, operasi di pejabat lama yang terletak di Bangunan LADA akan ditamatkan secara rasmi pada 31 Januari 2026. – UTUSAN








