Tengku Zafrul mohon ruang tetapkan KPI

Tengku Zafrul mohon ruang tetapkan KPI

: TENGKU Zafrul Tengku Abdul Aziz bercakap pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-80 Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, semalam. GAMBAR - AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memohon masa dan ruang diberikan kepadanya bagi mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang disasarkan selaku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang baharu.

“Bagi saya, ini adalah satu penghormatan yang besar dan amanah ini akan saya galas dengan penuh tanggungjawab, dedikasi serta keazaman untuk melihat sukan badminton negara terus cemerlang di persada dunia.

“Saya akan gunakan pengalaman luas saya di sektor swasta dan juga kerajaan untuk memastikan pengurusan BAM terus diperkasa dan BAM menjadi institusi sukan contoh bukan saja di Malaysia malah di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas diumum sebagai Presiden BAM yang ke-13 pada pemilihan bersempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-80 di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini, semalam.

Tengku Zafrul, 52, menggantikan Tan Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria yang melepaskan jawatan No. 1 BAM itu pada tahun lalu bagi memberi fokus kepada tugasnya sebagai Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Dalam pada itu, Tengku Zafrul juga meminta 100 hari diberikan kepadanya bagi memberi ruang kepada beliau mengadakan pertemuan bersama pucuk kepimpinan BAM dan juga pemegang-pemegang taruh untuk mendengar jika ada sebarang pandangan serta idea baharu demi kemajuan badminton tanah air.

“Dalam tempoh 100 hari itu, sudah tentu akan melibatkan KPI yang akan kita tetapkan, jadi, saya berharap kita sama-sama dapat berganding bahu bagi membuat keputusan berani dan penting pada masa depan,” katanya.

Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata, amat penting untuk beliau mendengar, memahami dan meneliti dengan semasak-masaknya pandangan, cadangan serta isu-isu yang dihadapi daripada semua sudut pandangan.

Katanya lagi, beliau percaya pendekatan inklusif adalah kunci untuk membina perancangan yang komprehensif dan juga realistik.

“Selepas tempoh 100 hari tersebut, Insya-Allah saya akan bentangkan visi strategik dan pelan tindakan komprehensif saya bersama pasukan kita di sini untuk BAM, saya sedar bahawa setiap organisasi itu mempunyai cabaran yang tersendiri, termasuklah BAM,” katanya.
Mengulas pula mengenai misi pingat emas Sukan Olimpik yang sehingga kini masih tertangguh, beliau berjanji akan meneruskan perjuangan tersebut yang gagal direalisasikan sewaktu di bawah teraju Norza.

“Sudah tentu sasaran No. 1 saya untuk mendapatkan pingat emas, jadi, itu akan menjadi sasaran utama saya dan pelan hala tuju bagaimana kita mampu menjadi sasaran tersebut sebagai realiti,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN