Revolusi snuker China takluk dunia

Revolusi snuker China takluk dunia

ZHAO Xintong
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHEFFIELD: Zhao Xintong dipuji sebagai bintang baharu snuker selepas memenangi Kejohanan Dunia dengan kemenangan 18-12 ke atas Mark Williams sekali gus menandakan permulaan revolusi snuker China.

Kejayaan dongeng Zhao di Crucible, Sheffield menjadi detik bersejarah untuk sukan snuker malah popularity sukan itu di China meningkat secara mendadak sejak dua dekad lalu, dibantu oleh kejayaan Ding Junhui, yang menjadi inspirasi kepada Zhao.

Zhao, 28, hanya pemain kelayakan ketiga yang memenangi gelaran tersebut sejak Kejohanan Dunia berpindah ke Crucible pada 1977 malah dia turut menjadi juara dunia termuda sejak Shaun Murphy, yang memenanginya pada usia 22 tahun pada tahun 2005.

Dia merupakan pemain amatur pertama yang memenangi gelaran dunia, selepas kehilangan kad lawatannya pada Januari 2023 akibat penglibatannya dalam skandal mengatur perlawanan.

Kontroversi itu hampir memusnahkan kerjaya Zhao yang menjanjikan apabila dia digantung selama 20 bulan.

Zhao mengaku bersalah terlibat dalam membantu pemain lain menetapkan keputusan dua perlawanan serta bertaruh pada perlawanan snuker, dalam satu skandal yang menyaksikan 10 pemain China dihukum, termasuk penggantungan seumur hidup terhadap Liang Wenbo dan Li Hang.

Williams, yang pertama kali memenangi kejohanan ini 25 tahun lalu, berhasrat untuk menjadi juara dunia tertua pada usia 50 tahun namun impiannya itu tidak kesampaian.

“Ia seperti mimpi. Saya tidak dapat mempercayainya. Ada tekanan besar dan saya agak gementar kerana saya tahu saya tidak boleh terlepas.

“Saya tahu dia boleh mengejar semula dengan pantas jadi saya perlu fokus dan sangat berhati-hati,” kata Zhao.

Zhao akan memulakan musim depan di kedudukan nombor 11 dalam ranking dunia malah dia kini menyertai sembilan lagi pemain China dalam senarai 32 terbaik dunia, dengan England satu-satunya negara yang mempunyai lebih ramai pemain dalam kelompok teratas.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya