ARAU: Setiap ahli Pas khususnya wakil rakyat dan mereka yang mempunyai jawatan di dalam parti diingatkan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan melabel atau menuduh di media sosial yang boleh memburukkan lagi keadaan.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, tindakan seperti itu diibarat seperti ‘mencurah minyak ke api yang sedang marak’ dalam isu pengguguran keahlian tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan peletakan jawatan Menteri Besar.
Beliau berkata, budaya Pas lebih mengutamakan pendekatan bermesyuarat, bermuzakarah dan bersatu dalam sebarang perkara.
Katanya, Pas juga mempunyai panduan jelas berdasarkan kepada kepimpinan parti dan kenyataan rasmi presiden malah krisis itu perlu dihadapi dengan sabar, berhemah dan berlandaskan Perlembagaan.
“Sebarang tindakan yang boleh mengeruhkan lagi keadaan ibarat ‘mencurah minyak ke api yang sedang marak’ perlu dielakkan. Dari sudut agama dan akhlak, perbuatan tersebut juga adalah tidak dibenarkan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan sebelum ini mengumumkan kekosongan luar jangka di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Chuping, Bintong dan Guar Sanji selepas tiga ADUN tersebut terhenti keahlian Pas.
Ia susulan tindakan tiga ADUN Pas tersebut bersama lima yang lain dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa bertemu Raja Perlis bagi menyerahkan akuan bersumpah menyatakan penolakan sokongan terhadap Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.
Mohd. Shukri mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar dengan surat peletakan jawatan tersebut telah dipersembahkan kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. – UTUSAN










