PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkannya bersalah dengan proses berkenaan dijangka dibuat esok.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pihaknya telah menjangka keputusan tersebut dan bersedia membawa kes berkenaan ke peringkat Mahkamah Rayuan.
“Jadi, memang benar, walaupun kami amat kecewa, kami tidak terkejut dengan keputusan tersebut kerana kami sememangnya telah menjangkakannya sejak awal lagi.
“Saya menantikan kes ini dibawa ke Mahkamah Rayuan kerana setiap perkara yang diputuskan oleh hakim telah dilakukan dengan cara yang tidak mengambil kira pemeriksaan balas kami,” katanya dalam sidang akhbar selepas prosiding keputusan akhir pembelaan kes penyelewengan dana RM2.3 bilion yang dihadapi Najib di Istana Kehakiman di sini, kelmarin.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun masing-masing untuk empat pertuduhan salah guna kedudukan dan denda RM11,387,888,067.05 bagi kesemua pertuduhan membabitkan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Jika gagal membayar denda tersebut, hukuman penjara Najib boleh ditambah 10 tahun lagi bagi setiap pertuduhan itu.
Untuk 21 pertuduhan pengubahan wang haram pula, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan.
Hakim Sequerah juga memerintahkan Najib untuk memulangkan semua (sum recoverable) RM2,081,476,926 sebagaimana yang dinyatakan dalam Seksyen 55 (2) Akta Pencegahan. Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Kegagalan memulangkan jumlah tersebut, hukuman Najib boleh ditambah lagi 22 tahun lima bulan.
Hukuman penjara bagi kesemua 25 pertuduhan diarahkan berjalan secara serentak tetapi berasingan dengan hukuman penjara yang sedang dijalani Najib sekarang atas kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd.
Ini bermakna, sebaik sahaja Najib selesai menjalani hukuman penjaranya yang dijangka selesai pada Ogos 2028 (sekiranya Najib membayar denda RM50 juta), hukuman bagi kesalahan penyelewengan dana 1MDB akan bermula.
Sementara itu, Najib turut mengutuskan sepucuk surat yang dibacakan oleh Muhammad Shafee susulan keputusan yang menentukan nasibnya itu.
Dalam surat tersebut, Najib menegaskan beliau akan meneruskan perjuangan dalam membela nasib dirinya meskipun berdepan jalan yang sukar dan sunyi.
Katanya, perjuangan itu bukan atas dasar dendam atau kepentingan peribadi, sebaliknya berasaskan prinsip, keadilan dan hak yang diperuntukkan oleh undang-undang.
“Perjuangan ini bukan usaha untuk mengelak daripada tanggungjawab. Ia adalah ikhtiar menegakkan keadilan, menjunjung integriti Perlembagaan dan mempertahankan kedaulatan undang-undang yang dilaksanakan tanpa rasa takut atau pilih kasih.
“Saya akan terus menuntut hak saya melalui saluran yang sah dengan maruah dan kesabaran, walaupun jalannya sunyi dan menuntut pengorbanan yang besar,” katanya.
Najib turut menasihatkan rakyat Malaysia supaya bersikap tenang, rasional dan berhati-hati dalam menilai keputusan mahkamah tanpa terpengaruh dengan sebarang spekulasi atau provokasi yang berpotensi menjejaskan keharmonian negara – UTUSAN










