PETALING JAYA: Jurulatih pecut, Mohd Poad Md Kassim mengakui dirinya bersedia untuk kembali ke pangkuan kem pecut kebangsaan sekiranya dia menerima tawaran surat pelantikan secara rasmi.
Poad merupakan individu yang bertanggungjawab melahirkan atlet berkualiti seperti Khairul Hafiz Jantan, Badrul Hisyam Manap dan ramai lagi berkata secara lisannya dia telah ditawarkan untuk membimbing atlet negara.
Bagaimanapun, Poad mengakui dia masih belum menerima tawaran tersebut secara bertulis dan secara terbuka menyatakan hasratnya untuk membimbing kem olahraga negara.
“Secara lisan sahaja (tawaran melatih atlet negara). Belum terima lagi (surat pelantikan),” katanya.
Sebelum ini, Olahraga Malaysia (MA) telah memaklumkan bahawa proses pelantikan jurulatih bagi skuad olahraga negara seperti yang diminta oleh badan induk itu kini sudah memasuki fasa akhir.
Presiden MA, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata berdasarkan pertemuan terakhir mereka bersama Majlis Sukan Negara (MSN), kesemua jurulatih yang diminta telah mendapat kelulusan dan dipersetujui.
“Walaupun kita ada beberapa masalah namun semuanya dapat diselesaikan dengan MSN, terutamanya pelantikan jurulatih yang telah pun diselesaikan pada minggu lalu, termasuk tambahan jurulatih, termasuk Poad. Itu semua telah dipersetujui.
“Cuma sekarang ini, prosedurnya adalah surat-menyurat. Keputusan dalam mesyuarat dengan MSN telah dipersetujui. Buat masa sekarang yang telah dipersetujui enam tambah satu (jurulatih),” katanya.-UTUSAN