WASHINGTON: Seorang warga Amerika Syarikat (AS) disahkan antara empat individu berada di atas sebuah bot laju curi yang memasuki perairan Cuba maut ditembak oleh pasukan pengawal pantai selepas mereka didakwa melepaskan tembakan pada Rabu.
Perkara tersebut disahkan Rumah Putih kepada laman berita CBS News pada Khamis.
Menurut Kementerian Dalam Negeri Cuba, empat orang terbunuh manakala enam lagi individu yang berada di dalam bot dari Florida, AS itu telah cedera dan ditangkap.
Selain warga AS yang maut itu, seorang pegawai AS mengesahkan kepada CBS News bahawa sekurang-kurangnya seorang lagi warganegaranya Cuba turut berada dalam kalangan mereka yang ditahan.
Menurut pegawai tersebut, sekurang-kurangnya salah seorang yang berada di dalam bot tersebut memegang visa K-1,
Visa itu membenarkan tunang kepada seorang warganegara Cuba untuk melancong ke AS bagi tujuan berkahwin.
Baki yang lain dipercayai merupakan penduduk tetap sah AS, walaupun jumlah sebenarnya masih belum jelas.
Dalam kenyataan sebelum ini, Havana menyatakan bahawa mereka yang menaiki bot tersebut merupakan warga Cuba yang menetap di AS.
Menurut pegawai berkenaan dan laporan insiden daripada Pejabat Syerif Daerah Monroe di Florida, pemilik bot tersebut mendakwa bahawa bot itu telah dicuri oleh seorang pekerja.
Bot tersebut berada satu batu nautika di timur laut terusan El Pino di Cayo Falcones apabila lima anggota Pasukan Pengawal Sempadan Cuba mendekati bot itu untuk mendapatkan pengenalan diri mereka, lapor kementerian dalam negeri.
Individu-individu di atas bot tersebut kemudian mula melepaskan tembakan sehingga mencederakan komander bot Cuba berkenaan, menurut kementerian tersebut.
Kementerian itu mendakwa bahawa 10 individu di atas bot tersebut bersenjatakan raifal gempur, pistol, koktel Molotov, jaket kalis peluru, kanta teleskopik dan pakaian seragam celoreng serta didakwa cuba merancang aktiviti keganasan di Cuba.
Cuba menyatakan pada Khamis bahawa dalam kenyataan sebelumnya, ia telah tersalah kenal pasti salah seorang lelaki sebagai Rolando Roberto Azcorra Consuegra, yang kini disahkan tidak terlibat dalam insiden tersebut. – AGENSI










