PETALING JAYA: Liga Bolasepak Malaysia(MFL) hari ini memaklumkan bahawa keputusan badan bebas, First Instance Body (FIB) untuk melanjutkan tarikh akhir penyerahan dokumen Pelesenan Kelab bagi kitaran 2024-2025 adalah berdasarkan peruntukan yang terkandung dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2024-2025.
Menurut kenyataan rasmi MFL, langkah melanjutkan tempoh tersebut dibuat setelah mengambil kira permohonan bertulis yang diterima daripada beberapa kelab Liga Super yang memerlukan lebih masa untuk melengkapkan proses pematuhan pelesenan.
“Jawatankuasa FIB menghargai komitmen kelab-kelab yang telah melengkapkan proses memuat naik dokumen sebelum atau pada 30 April 2025 menerusi sistem pelesenan AFC CLAS serta mematuhi tarikh akhir asal yang telah ditetapkan,” menurut kenyataan itu.
Walau bagaimanapun, katanya, pihak FIB telah mempertimbangkan permohonan yang diterima dan memutuskan untuk memberikan lanjutan masa sehingga selewat-lewatnya 10 Mei 2025.
“Keputusan lanjutan ini dibuat berdasarkan kuasa yang diperuntukkan kepada FIB di bawah Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2024, Artikel 7 dan 8 (a), yang menyatakan bahawa badan membuat keputusan mesti beroperasi mengikut prinsip keadilan semula jadi dan sekurang-kurangnya mengawal selia piawaian seperti tarikh akhir penyerahan dokumen, serta mengambil kira keadaan khusus bagi setiap permohonan dan kes yang dibentangkan,” jelas kenyataan itu lagi.
Sehubungan itu, MFL berharap semua kelab yang masih belum menyempurnakan proses pemuatan naik dokumen dapat berbuat demikian sebelum atau pada tarikh akhir baharu yang telah ditetapkan, iaitu 10 Mei 2025.-UTUSAN