Malaysia 'Raja' kuadran Asia

Malaysia ‘Raja’ kuadran Asia

REAKSI pemain Malaysia meraih mata yang diperoleh ketika menentang pasukan Jepun pada perlawanan akhir Acara Kuadran dalam Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia ASTAF 2025 di Stadium Titiwangsa di sini hari ini. UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia mengesahkan status sebagai kuasa baharu acara kuadran Asia apabila dinobatkan juara sulung pada Piala Asia Sepak Takraw 2025 selepas menundukkan Jepun di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.

Dalam perlawanan yang menyaksikan sorakan padu penyokong yang membanjiri stadium, skuad negara kendalian Mohammad Zulkarnain Mohamed Arif menampilkan aksi bertenaga dan taktikal mantap untuk menewaskan Jepun dengan kemenangan straight set,15-8,15-11.

Kejayaan itu sekali gus melengkapkan misi skuad negara untuk membawa pulang salah satu daripada empat pingat emas yang disasarkan dalam kejohanan yang pertama kali dianjurkan di rantau ini.

Aksi kemas dan berdisiplin yang dipamerkan pemain negara sejak awal permainan nyata menggagalkan perancangan taktikal Jepun yang cuba bangkit dengan corak permainan pantas dan agresif.

AKSI pemain Malaysia, Shahalril Aiman membuat libasan ketika menentang pasukan Jepun pada perlawanan akhir Acara Kuadran dalam Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia ASTAF 2025 di Stadium Titiwangsa di sini hari ini. UTUSAN/SYAKIR RADIN

Malaysia yang diperkuat gandingan Amirul Zazwan Amir, Muhammad Norfaizzul Abd Razak, Muhammad Shahalril Aiman Halim dan Muhammad Afifuddin Mohd Razali berjaya menyekat setiap asakan berbahaya lawan dan menunjukkan ketenangan luar biasa dalam setiap mata penting.

Sebaliknya, Jepun yang menurunkan Toshikata Naito, Yuki Sato, Ryota Haruhara dan Wataru Narawa dilihat tenggelam dalam tekanan permainan serta gagal memanfaatkan peluang untuk bangkit.

Lebih manis, kejayaan ini hadir selepas kegagalan skuad negara melepasi peringkat kumpulan pada Kejohanan Piala Dunia di Bihar, India, Mac lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN