PETALING JAYA: Kuala Lumpur City (KL City) FC perlu memulihkan urusan tadbir urus pasukan sebelum bercita-cita besar untuk muncul antara pencabar terkuat saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Datuk Hisamudin Yahaya berkata, isu yang perlu diberikan perhatian serius oleh pasukan pada musim depan ialah tentang pembayaran gaji pemain.
Katanya, sekiranya perkara berkenaan tidak diselesaikan, ia boleh memberi imej buruk selain menjejaskan prestasi pasukan dalam saingan Liga Super yang dijangka lebih mencabar pada musim baharu nanti.
“Tidak salah kita bercita-cita tinggi untuk menjadi antara pencabar terkuat dan itu sememangnya menjadi hasrat pasukan. Namun, untuk ke arah itu, kita kena perbaiki dahulu pasukan dalam semua aspek.
“Saya lihat kita kena serius khususnya dalam soal pengurusan gaji pemain. Kita tidak mahu perkara yang sama berulang setiap musim kerana gaji boleh menjadi penentu kepada prestasi pemain atas padang.
“Segala perubahan yang ingin dilakukan dalam pasukan juga perlu dibincangkan secara bersama bagi mengelak berlaku masalah yang lebih rumit dan menjejaskan kedudukan pasukan,” katanya.
Sebelum ini, skuad KL City FC dilaporkan turut berdepan masalah tunggakan gaji sehingga menjejaskan kedudukan pasukan berkenaan dalam saingan Liga Super musim lalu.
Mengikut rekod, musim 2024/2025 menyaksikan KL City FC yang dikendalikan Miroslav Kuljanac mengakhiri saingan Liga Super di tempat keenam selepas berjaya mengutip 31 mata.
Untuk saingan musim depan, skuad The City Boys dilaporkan bakal melakukan revolusi dengan membawa masuk beberapa muka baharu termasuk tonggak kebangsaan.
Dijangka sekurang-kurangnya lima pemain skuad kebangsaan akan dibawa masuk selain turut mempertimbangkan untuk mengikat tonggak pasukan Indonesia atau Thailand bagi musim 2025/2026 kelak.-UTUSAN