Penduduk Bukit Malut sedia beli rumah - Sanusi

Penduduk Bukit Malut sedia beli rumah – Sanusi

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Penduduk di Bukit Malut, Langkawi bersedia membeli rumah sekiranya Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyelesaikan urusan pengambilan tanah serta menyediakan tapak projek perumahan di kawasan itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kerajaan negeri sudah beberapa kali menghantar surat kepada MKN bagi meminta tindakan segera berhubung pengambilan tanah berhampiran penempatan terbabit.

Katanya, pemilikan tanah perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum pemaju boleh dilantik untuk membina rumah yang akan dijual kepada komuniti Melayu Islam Kedah (MIK) di kawasan itu.

“Mereka ini bukan menuntut rumah percuma, sebaliknya mahu membeli rumah sah di lokasi berdekatan kerana telah lama menduduki tanah di kawasan berkenaan.

“Memang mereka tunggu hendak beli rumah di situ kerana mereka bukan pendatang sebaliknya penduduk terawal di kawasan itu,” katanya selepas Majlis

Penghormatan dan Penghargaan kepada Pelajar Lepasan Pondok Negeri Kedah di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), di sini hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, beliau mendapat maklum balas berkaitan pemilikan rumah itu daripada ketua komuniti di penempatan berkenaan, baru-baru ini.

Katanya, sebelum ini penduduk di situ membina struktur rumah secara haram di tanah milik Permodalan Kedah Berhad (PKB).

“MKN perlu segerakan pengambilan tanah LKIM untuk bina rumah di sebelah penempatan sekarang, mereka akan beli rumah itu nanti,” katanya.

Mengulas persepsi wujud sindiket membawa masuk etnik Rohingya ke penempatan itu, Muhammad Sanusi menyatakan tidak pasti mengenai perkara itu.

“Saya tidak ada maklumat pasal itu, mungkin ada mungkin tidak ada, saya tidak tahulah, tetapi persepsi orang macam itulah. Bukit Malut bukan Rohingya, mereka MIK yang masuk tahun 1983. Cakap Melayu, cakap Kedah. Rohingya tak boleh cakap Melayu pun, bahasa Inggeris lagi tidak boleh,” katanya.

Penempatan Bukit Malut berhampiran kawasan laut di Langkawi sering menjadi tumpuan setiap kali terdapat pendaratan etnik Rohingya atau cubaan mereka menyeludup masuk ke negara ini.

Dalam kejadian terbaru dua minggu lalu, seramai 29 migran dipercayai etnik Rohingya ditemukan lemas selepas bot dinaiki mereka karam di perairan Malaysia-Thailand berhampiran Pulau Tarutao di negara jiran itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN