Gelaran Malaysia Masters dalam genggaman

Gelaran Malaysia Masters dalam genggaman

AARON Chia-Soh Wooi Yik beraksi ketika menentang pasangan Denmark Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen pada aksi separuh akhir Malaysia Masters 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Gelaran beregu lelaki Malaysia Masters 2025 sah menjadi milik negara apabila dua beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun akan bertemu sesama sendiri di pentas final, esok.

Gandingan No. 3 dunia, Aaron-Wooi Yik mara ke final buat kali pertama dalam kejohanan ini selepas menundukkan juara bertahan dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 21-19, 17-21, 21-16 dalam masa 64 minit di Axiata Arena, Bukit Jalil, sebentar tadi.

Gandingan itu bakal menentang rakan senegara yang juga pilihan kelima kejohanan, Wei Chong-Kai Wun yang sebelum ini mempamer aksi bertenaga menyingkirkan wakil Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi secara straight set 21-12, 21-14, petang tadi.

Aaron mengakui set pertama menjadi titik penting dalam kemenangan ke atas juara bertahan itu apabila mereka kekal berani dan konsisten meskipun lawan mendahului hampir sepanjang permainan.

Menurutnya, faktor kelebihan beraksi di gelanggang sendiri turut memberi impak besar kepada kejayaan mereka dengan sokongan padu peminat tempatan yang memberi tekanan kepada pasangan Denmark.

“Kami hanya mahu beraksi sebaik mungkin untuk semua yang hadir menyokong kami, menang atau kalah bukan keutamaan, yang penting aksi berkualiti buat semua penyokong,” kata Aaron kepada pemberita selepas perlawanan, sebentar tadi.

 

Aksi final sesama Malaysia ini menyaksikan kemarau gelaran di laman sendiri bagi kategori beregu lelaki bakal berakhir selepas penantian sejak 2013 yang dimenangi oleh Goh V Shem-Lim Khim Wah.

Ditanya mengenai final menentang rakan sepelatih, Aaron secara berseloroh menyatakan perlawanan esok ibarat sesi latihan biasa dan yang lebih penting adalah memastikan trofi beregu lelaki terus kekal dalam genggaman Malaysia.

“Yang penting itu gelaran dari kita (Malaysia), beregu lelaki. Esok kamu akan lihat dan sudah tahu siapa lebih bersedia,” katanya.

Dengan kejuaraan sudah pasti dalam genggaman negara, tumpuan kini terarah kepada siapakah yang bakal menjulang trofi di pentas akhir esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN