Farah tepis kemurungan rangkul Olahragawati Kebangsaan 2024

Farah tepis kemurungan rangkul Olahragawati Kebangsaan 2024

Nor Farah Ain Abdullah dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan 2024. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM senyuman manis yang terukir di wajah Nor Farah Ain Abdullah, tersimpan kisah penuh luka dan perjuangan yang akhirnya menghadiahkan gelaran Olahragawati Kebangsaan 2024 kepadanya.

Di sebalik kejuaraan dunia dan status pemain No. 1 dunia boling padang, Farah terpaksa menempuh detik sukar dengan kecederaan serta masalah kesihatan mental yang menghantuinya sepanjang musim.

“Untuk makluman, saya mengalami masalah kesihatan mental seperti serangan panik dan kemurungan.

“Tekanan itu akan datang bersama simptom gementar, mata berair dan dada sakit,” kata Farah kepada Mingguan Malaysia.

Lebih mencabar, Farah masih bergelut dengan kecederaan bahu kanan yang memaksanya berehat seketika daripada menyertai kejohanan buat masa ini.

Namun, segala penderitaan itu langsung tidak menghalangnya daripada menamatkan tahun lalu sebagai pemain No. 1 dunia dan juara dunia perseorangan pada Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2024 di Guernsey, Channel Islands.

Dalam nada rendah diri, Farah mengakui tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang anugerah berprestij itu kerana masih ‘mentah’ di pentas antarabangsa.

Namun, kegigihannya mengekalkan konsistensi dalam setiap kejohanan termasuk Sukan Asia dan siri dunia membuktikan beliau layak untuk bergelar ratu sukan negara.

“Saya tak sangka akan menang, ini adalah anugerah paling besar dalam hidup saya.

“Tahun 2024 adalah tahun pertama saya dalam pasukan dan saya antara yang paling muda, sangat tak sangka,” katanya.

Farah juga menzahirkan penghargaan kepada Presiden Persatuan Boling Padang Malaysia, Datuk Awalan Abdul Aziz, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) serta Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh atas sokongan berterusan terhadap sukan boling padang.

Kini, tumpuan Farah beralih ke Piala Dunia di Hong Kong pada November ini sebagai medan pemanas badan menjelang Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland.

“Sasaran utama saya ialah untuk layak ke Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, itu impian besar saya.

Meskipun terpaksa berdepan dengan tekanan emosi dan fizikal, semangat juangnya menjadi inspirasi kepada atlet muda di luar sana untuk tidak berputus asa.

Farah membawa pulang piala utama, piala iringan, sijil serta wang tunai RM20,000 atas kemenangan bersejarah itu, yang pertama bagi atlet boling padang dalam sejarah Anugerah Sukan Negara (ASN).

Lebih manis, rakan sepasukannya, Hasmunirah Maliki turut melakar kejayaan apabila dinobatkan sebagai Olahragawati Paralimpik Kebangsaan 2024.

Farah membuktikan bahawa kekuatan sebenar bukan hanya pada fizikal, tetapi keberanian melawan kesakitan yang tidak kelihatan di mata umum.

Dalam dunia sukan yang sering menyembunyikan luka, Farah memilih untuk berterus terang dan keberaniannya itu adalah satu kemenangan tersendiri. – UTUSAN

BIODATA

Nama : Nor Farah Ain Binti Abdullah

Tarikh lahir : 13 Mac 2001

Umur : 24 tahun

Pendidikan : Diploma Kecergasan Pertahanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)

Asal : Kuala Selangor

 

Pencapaian 

– Emas Kejohanan Single Kebangsaan 2023 

– Emas acara Fours Kejohanan Boling Padang Asia ke-15 2024 di Pattaya, Thailand

– Perak acara Triple Kejohanan Boling Padang Asia ke-15 2024 di Pattaya, Thailand

– Emas acara Single wanita Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2024 di Guernsey, Channel Islands

– Gangsa acara mixed pairs Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2024 di Guernsey, Channel Islands

– Olahragawati Kebangsaan 2024

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN